Monday, 8, December, 2025
Utama Sukan Semangat juang Jojo wajib dicontohi anak muda

Semangat juang Jojo wajib dicontohi anak muda

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan atlet muda Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar sebagai lambang keazaman dan semangat juang tinggi yang wajar dicontohi anak muda Malaysia.

Anwar berkata, kejayaan atlet yang lebih dikenali sebagai Jojo itu bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah mencerminkan nilai sebenar seorang anak muda berdisiplin yang tidak mudah mengalah dalam mengejar impian.

“Lebih membanggakan, saudara Jojo turut aktif menyuarakan pandangan dan menyertai kempen kesedaran bagi membanteras budaya buli, serta menyuntik inspirasi kepada anak muda untuk membina keyakinan diri, keteguhan jati diri dan semangat positif dalam kehidupan seharian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Perdana Menteri turut menyatakan keyakinan bahawa dengan semangat serta sokongan berterusan, lebih ramai atlet muda akan lahir untuk mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Dalam pada itu, Anwar turut mengungkap kata-kata bekas Presiden Amerika Syarikat John F. Kennedy yang berbunyi, “Jangan bertanya apa sumbangan negara kepadamu, tetapi tanyalah apa sumbanganmu kepada negara,” bagi menyemai budaya kecintaan kepada tanah air serta semangat kolektif membangun negara dan masyarakat.

“Tahniah Jojo atas kejayaan dan komitmen terhadap negara serta masyarakat. Teruskan usaha gigih saudara yang menyinar serta meniup inspirasi kepada generasi muda yang cinta dan mahu menyumbang kepada negara,” katanya yang turut memuat naik beberapa keping gambar ketika menerima kunjungan delegasi Jojo semalam.

Pada awal September lalu, Jojo mencatat kemenangan membanggakan apabila menewaskan lawan dari Maghribi, Zakaria El Jamari melalui technical knockout dalam masa dua minit 10 saat bagi kategori flyweight pada kejohanan ONE Fight Night 35 di Stadium Lumpinee, Thailand.

Kemenangan sulung itu menamatkan dua kekalahan berturut-turut sebelum ini, sekali gus membuktikan ketabahan dan semangat juang tinggi anak muda berusia 17 tahun itu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.