Monday, 8, December, 2025
Utama Nasional APEC 2025: Anwar seru penyertaan lebih besar negara selatan global

APEC 2025: Anwar seru penyertaan lebih besar negara selatan global

oleh Ammar Haziq

GYEONGJU — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar penyertaan ekonomi dari Amerika Latin dan Afrika diperkasakan dalam Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bagi membina struktur ekonomi global yang lebih adil dan seimbang.

Beliau menegaskan, penglibatan lebih luas dari negara-negara Selatan Global penting untuk memastikan agenda APEC benar-benar inklusif dan berimpak tinggi, selain membantu merapatkan jurang antara negara maju dan membangun.

“Penyertaan lebih besar daripada ekonomi Amerika Latin dan Afrika, sama ada melalui penglibatan formal atau tidak formal, akan menterjemahkan agenda APEC kepada sesuatu yang lebih transformatif, inklusif dan benar-benar berimpak,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC – Sesi 1 bertemakan ‘Ke Arah Rantau yang Lebih Terhubung dan Berdaya Tahan’.

Anwar menekankan bahawa masa depan kerjasama global bergantung kepada kemampuan memupuk kolaborasi merentas rantau dan sektor. Beliau menyatakan sokongan Malaysia terhadap usaha menjadikan APEC lebih mewakili kepelbagaian realiti ekonomi dunia.

Perdana Menteri turut mengetengahkan konsep tadbir urus kolaboratif sebagai asas dalam menangani cabaran global, sambil menegaskan bahawa konsep itu bukan soal pembahagian kuasa semata-mata, tetapi perkongsian matlamat.

“Tadbir urus kolaboratif bukan tentang berkongsi kuasa, ia tentang berkongsi tujuan,” ujarnya.

Anwar berkata pendekatan menyeluruh yang melibatkan kerajaan, industri, akademia dan komuniti amat penting bagi memastikan tindakan kolektif yang mampu membawa perubahan bermakna di peringkat global.

Ucapan beliau turut selari dengan Kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan daya tahan, keterangkuman dan kelestarian, sejajar dengan fokus APEC terhadap pertumbuhan hijau, transformasi digital, rantaian bekalan yang berdaya tahan dan keselamatan makanan.

Dalam ucapannya, Anwar turut mengalu-alukan pertemuan dijangka berlangsung antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Presiden China, Xi Jinping, yang disifatkannya sebagai langkah positif untuk memperkukuh dialog dan kerjasama serantau.

Beliau turut merujuk kepada Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dan Kemboja sebagai contoh kejayaan diplomasi serantau yang dibina atas asas kepercayaan, sambil mengingatkan dunia tentang keperluan menamatkan konflik berpanjangan di Gaza dan Ukraine.

Anwar menegaskan komitmen Malaysia terhadap kerjasama serantau dan pembangunan inklusif, sambil menutup kenyataannya dengan menyeru agar negara-negara APEC terus memupuk semangat kolaborasi di semua peringkat masyarakat demi masa depan rantau yang lebih sejahtera dan berdaya tahan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 kedahgazette.com - All Rights Reserved | Hakmilik - Mercu Media Advertising Sdn. Bhd.