Friday, 29, March, 2024
Utama Politik UMNO Kedah ambil pendirian tunggu dan lihat – Suraya

UMNO Kedah ambil pendirian tunggu dan lihat – Suraya

oleh Wartawan Kedah Gazette
SURAYA YAACOB

ALOR SETAR – UMNO Kedah mengambil pendirian untuk tunggu dan lihat mengenai kedudukan kerajaan campuran Pakatan Harapan negeri itu rentetan daripada terbentuknya Kerajaan Persekutuan yang baharu daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Pusat.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, pembentukan kerajaan Persekutuan baharu yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini telah memberi kesan terhadap beberapa kerajaan negeri seperti Johor, Melaka serta Perak.

Malah menurutnya, beliau menjangkakan tidak lama lagi berlaku pula krisis di negeri Kedah.

“Tidak dinafikan bahawa Kedah juga turut menerima tempias atas krisis politik tersebut apabila ramai di kalangan rakyat di negeri ini yang ternanti-nanti perubahan yang sama berlaku di peringkat kerajaan negeri.

“Namun keterujaan rakyat untuk menyaksikan perubahan itu agak terbantut akibat ‘drama terbaharu’ Timbalan Presiden Bersatu yang sekali lagi ‘memberontak’ terhadap Presiden partinya sendiri,” katanya pada sidang akhbar di sini pagi ini.

Bangunan UMNO Kedah di Alor Setar.

Suraya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang berkata, UMNO Kedah tetap bersiap sedia untuk sebarang bentuk perubahan tampuk pentadbiran Kerajaan Negeri yang mungkin berlaku pada bila-bila masa.

“Harus ditegaskan bahawa sebarang plot ‘drama politik PH’ atau perubahan pentadbiran yang berlaku di negeri ini haruslah selaras dengan lunas perlembagaan, legitimasi perundangan dan perlulah menitik beratkan kepentingan rakyat,” tambahnya.

Selain itu, katanya, UMNO Kedah juga yakin bahawa Muafakat Nasional (MN) Kedah kini sentiasa bersiap siaga dalam ‘mode’ pilihan raya sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah secara mengejut.

“Dalam keadaan terdesak, kadangkala ‘pengarah drama’ akan jolok sendiri buah di dahan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, semua pihak diminta agar bersabar dengan perkembangan politik yang berlaku sekarang.

“Takkan lari gunung dikejar. Ayuh kita teguh beristiqamah dalam perjuangan, teruskan usaha, berdoa kepada Allah SWT dan bertawakkal kita berserah padaNya. Semoga perjuangan kita mencapai kejayaan yang diredhaiNya, insya-Allah,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Mukhriz kekal sebagai Menteri Besar Kedah apabila menerima sokongan ADUN PH dan Bersatu demi memastikan urusan pentadbiran lancar.

Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor pula dilaporkan berkata, Pas yakin akan berlaku perubahan kuasa selepas sidang khas Dewan Rakyat pada 2 Mac ini.

  • KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com