Thursday, 25, April, 2024
Utama Sukan Pemain Kedah tidak terima gaji sejak PKP pertama

Pemain Kedah tidak terima gaji sejak PKP pertama

oleh Wartawan Kedah Gazette

ALOR SETAR – Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengakui para pemain skuad Helang Merah tidak menerima bayaran gaji sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama bagi mengekang wabak COVID-19 dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris berkata, keadaan tersebut berlaku apabila pihak
penaja memohon penangguhan pembayaran sehingga tamat gelombang pertama.

Bagaimanapun, beliau berkata, malangnya, sebagaimana yang semua sedia maklum, kerajaan melanjutkan PKP hingga ke peringkat ketiga sekarang.

Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar

“Ini telah menyukarkan pihak penaja untuk memperjelaskannya kerana perniagaan mereka juga terjejas teruk akibat daripada kekangan ekonomi yang berlaku.

‘Namun, mereka tetap berjanji akan memperjelaskan penajaan sebaik sahaja PKP tamat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Asmirul Anuar menambah, pihak kerajaan negeri Kedah pula keutamaan harus diberikan setelah menyelesaikan kesemua budget rangsangan ekonomi termasuk bantuan keperluan kepada rakyat untuk kos sara hidup yang pada ketika ini tentunya menjadi agenda utama negeri.

Jelasnya lagi, misi menaik taraf keperluan kesihatan serta menyelamatkan nyawa rakyat menjadi keperluan yang amat penting.

Tambahnya, kerajaan Kedah memberi fokus kepatuhan PKP sehingga berjaya mengekalkan lima hari berturut-turut tiada kes baharu COVID-19 yang menjadi keutamaan kerajaan.

“Bola sepak sebagai sukan yang paling diminati di Kedah tidak akan dikesampingkan. Ianya kini berada di agenda kedua langkah penyelesaian sekiranya pihak penaja menghadapi kekangan ketika kegawatan ekonomi.

“Kerajaan negeri masih mempunyai dana untuk langkah penyelesaian. Segalanya akan di selesaikan sebaik mungkin oleh kerajaan setelah tamat tempoh PKP ini,” katanya lagi. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com