Thursday, 25, April, 2024
Utama Negeri Shahanim beri sumbangan 5,000 anak ayam kepada penduduk kampung

Shahanim beri sumbangan 5,000 anak ayam kepada penduduk kampung

oleh Wartawan Kedah Gazette
YouTube player

SUNGAI PETANI – Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff memberi sumbangan kira-kira 5,000 anak ayam kepada penduduk kampung untuk diternak semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Menurut beliau, anak ayam itu dibeli dari sebuah kilang pengeluaran benih anak ayam di sini yang menghadapi masalah lambakan anak ayam sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu.

Katanya, keadaan itu berlaku apabila kebanyakan pemilik ladang ternakan ayam tidak mahu membeli anak-anak ayam yang dikeluarkan kilang berkenaan sejak PKP ini

“Saya mengagihkan anak-anak ayam itu secara percuma kepada penduduk kampung di sekitar di Sungai Petani,” katanya di sini hari ini.

Seorang penduduk gembira menerima sumbangan anak ayam daripada Shahanim.

Shahanim berkata, penduduk yang menerima sumbangan anak ayam itu selepas ini dapat mengisi masa lapang mereka pada PKP ini dengan memelihara anak ayam tersebut.

“Apabila anak-anak ayam itu telah matang boleh dijual untuk tambah pendapatan,” katanya.

Selain itu, Shahanim memberitahu, pada sepanjang PKP ini, beliau dan UMNO Bahagian Sungai Petani juga menyampaikan sumbangan barangan makanan serta ikan kepada penduduk di sini.

“Sumbangan tersebut juga disalurkan kepada Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO untuk diagihkan kepada orang ramai terutamanya golongan miskin,” katanya.

Jelasnya, sumbangan tersebut disampaikan secara berperingkat-peringkat pada sepanjang PKP ini. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com