Wednesday, 17, April, 2024
Utama Nasional Mukhriz kesal dikaitkan dengan Ustaz Ebit disoal-siasat polis

Mukhriz kesal dikaitkan dengan Ustaz Ebit disoal-siasat polis

oleh admin

ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir kesal dengan tularan meluas di media sosial yang mengaitkan beliau dan pejabatnya berhubung tohmahan kononnya dermawan dan tokoh motivasi, Ustaz Ebit Lew telah disoal-siasat polis susulan laporan yang difailkan oleh seorang pegawainya.

Menurutnya, beliau sama sekali tidak mengarahkan pegawainya, baik pegawai pentadbiran mahupun pegawai politik di mana-mana peringkat untuk menfailkan laporan polis terhadap Ustaz Ebit Lew.

“Siasatan dalaman juga mendapati tidak ada pegawai saya, pentadbiran mahupun
politik, membuat laporan polis, walaupun atas kapasiti peribadi.

“Pihak saya turut difahamkan polis bertindak dalam bidang kuasa yang dibenarkan untuk memanggil Ustaz Ebit Lew memberikan apa-apa keterangan yang diperlukan bagi maksud tertentu walaupun tiada laporan difailkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau menambah, dakwaan dan tohmahan itu telah mencemarkan namanya, jawatan yang disandang dan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah.

“Pihak saya sedang meneliti perkara ini dengan mendalam, serta menimbang tindakan perundangan ke atas pihak-pihak yang membuat tohmahan ini, khususnya di laman media sosial.

“Saya ingin menjelaskan di sini bahawa Pentabiran Kerajaan Negeri Kedah tidak
menyekat mana-mana pihak yang membuat kebajikan demi kesejahteraan masyarakat.

“Asalkan ia mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan termasuk peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan serta panduan penjagaan kesihatan bagi mengelak jangkitan COVID-19,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, beliau saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, baik persatuan, badan bukan kerajaan, orang perseorangan dan dermawan seperti Ustaz Ebit Lew yang tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan pertolongan di negeri Kedah. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com