Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri Impian Siti Aishah tinggal di rumah baru tercapai

Impian Siti Aishah tinggal di rumah baru tercapai

oleh Wartawan Kedah Gazette
Asmirul Anuar (kanan) melihat keadaan rumah Siti Aishah yang uzur di Tanjung Besar, Kuala Kedah.

KUALA KEDAH – Impian seorang ibu tunggal, Siti Aishah Ramli yang tinggal di Tanjung Besar di sini memiliki rumah yang lebih selesa akhirnya tercapai apabila kerja-kerja membina rumah baru untuk keluarga akan mula dibina esok.

Rumah tersebut yang dibina semula oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, Asmirul Anuar Aris dan pihak kontraktor.

Asmirul Anuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan berkata, pembinaam semula rumah berkenaan mengambil masa selama tiga bulan.

“Dalam tempoh tiga bulan itu, keluarga Siti Aishah akan tinggal sementara di rumah sewa.

“Rumah sewa tersebut akan dibayar oleh ahli perniagaan daripada syarikat Teh Songket, Ustaz Haji Shahidi,” katanya dalam ciapan di Facebooknya petang ini.

Siti Aishah dan keluarga akan tinggal sementara di rumah sewa yang dibiayai syarikat Teh Songket.

Asmirul Anuar menambah, syarikat Teh Songket juga akan menyumbangkan barang-barang keperluan seperti kipas angin, tilam dan tikar getah untuk keluarga berkenaan.

“Kita sentiasa mengalu-alukan pelbagai pihak untuk turut serta bersama berbuat kebajikan,” katanya lagi.

Teh Songket adalah sebuah syarikat yang terlibat dalam perusahaan dan pembuatan songket terkenal di negara ini.

Perniagaan syarikat itu adalah dalam bentuk runcit dan borong, import serta eksport.

Sementara itu, Asmirul Anuar berkata, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Siti Aishah di talian 017-993 4025 manakala nombor akaun Bank Islam miliknya pula 0210 5020 0020 63. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com