Friday, 19, April, 2024
Utama Umum Kedah tetap larang orang ramai lepak, minum di restoran

Kedah tetap larang orang ramai lepak, minum di restoran

oleh Wartawan Kedah Gazette

ALOR SETAR – “Tiada masalah untuk restoran atau kedai-kedai makan dibuka, namun kita tidak membenarkan pelanggan menikmati hidangan di premis tersebut.”

Arahan tersebut merupakan antara pindaan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir selepas.
Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Khas Negeri (JKKN) COVID-19 di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan dibenarkan di kedai makan dan restoran cuma secara bungkus, penghantaran atau pandu lalu sahaja seperti sebelum ini.

Mukhriz Mahathir

“Kerajaan negeri mengambil pendekatan sedikit berbeza terhadap pelaksanaan PKPB bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat sentiasa terjamin, selain memastikan negeri ini terus kekal sebagai zon hijau daripada penularan COVID-19.

“Keputusan ini tidak bertentangan dengan kerajaan Persekutuan, malah SOP dikeluarkan Kerajaan Persekutuan menyatakan terdapat kuasa di bawah Pihak Berkuasa Tempatan untuk mengecualikan terhadap beberapa perkara,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu, taman-taman awam dan rekreasi bagaimanapun masih kekal ditutup buat masa ini.

“Hendak beriadah dalam kawasan taman perumahan sendiri, itu dibenarkan. Begitu juga dengan aktiviti sukan individu yang tidak melibatkan sentuhan.

“Tetapi jangan pula anjur sukan melibatkan ramai orang seperti sebelum ini. Berzumba di taman awam contohnya tidak dibenarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz menambah, sektor peruncitan dan pemborongan pula boleh beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam.

“Pasar raya termasuk juga Pekan Rabu turut dibenarkan beroperasi semula asalkan memenuhi syarat ditetapkan,” ujarnya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com