Friday, 29, March, 2024
Utama Politik Mukhriz dikritik berpolitik ketika krisis COVID-19

Mukhriz dikritik berpolitik ketika krisis COVID-19

oleh Wartawan Kedah Gazette
Khaidhirah Abu Zahar

ALOR SETAR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Khaidhirah Abu Zahar menyelar kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir yang lebih berkepentingan politik apabila mahu Bersatu kembali kepada Pakatan Harapan (PH) ketika rakyat sedang bergelut dengan kepayahan akibat COVID-19.

Beliau berkata, sikap yang ditunjukkan Mukhriz
seperti menangguk di air yang keruh dengan
terus menerus bermain propaganda politik ketika rakyat sedang berjuang menangani COVID-19.

Menurutnya, Menteri Besar Kedah itu didapati mencipta retorik baharu dengan menyatakan Melayu lebih baik di bawah PH berbanding Perikatan Nasional (PN).

“Hakikatnya nasib Melayu sangat buruk semasa berada di bawah kerajaan PH yang melakukan pelbagai tindakan yang merugikan negara dan bangsa,” katanya dalam kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Mukhriz Mahathir

Sebaliknya, Khaidhirah berkata, Mukhriz seharusnya memperbetulkan dahulu parti Bersatu yang dilihat berpecah belah, daripada beretorik setiap masa.

“Beliau (Mukhriz) perlu berhenti daripada mengherdik sokongan orang Melayu yang rata-rata kini menjunjung Muafakat Nasional demi survival Melayu Islam serta perlu sedar bahawa majoriti dalam Bersatu itu sendiri telah meninggalkan beliau kerana terlalu obses dengan dasar pemerintahan chauvinist yang anti Melayu,” ujarnya.

Selain itu, Khaidhirah berkata, kenyataan media Majlis Presiden PH yang memaksa untuk sidang penuh Dewan Rakyat juga satu cubaan politik untuk menarik perhatian rakyat semata-semata sedangkan krisis COVID-19 perlu ditangani secara pantas dan efektif yang meneruskan aspirasi prihatin rakyat.

Jelasnya, perdebatan panjang dalam jangka masa yang lama di Dewan Rakyat sudah tentu menimbulkan pelbagai masalah birokrasi, serta menyusahkan rakyat untuk menerima faedah-faedah tertentu daripada kerajaan.

“Rakyat sudah letih dengan permainan politikus yang gemar muncul hero dengan isu yang tidak bersandarkan rakyat dan mahukan perubahan yang total tentang pentadbiran disamping dambaan kepada pemerintahan yang cekap,” katanya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com