Friday, 29, March, 2024
Utama Politik Kerusi MB Kedah mungkin bukan milik Pas

Kerusi MB Kedah mungkin bukan milik Pas

oleh Wartawan Kedah Gazette
Bangunan Wisma Darul Aman di Alor Setar..

ALOR SETAR – Harapan Pas untuk melantik dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu menduduki kerusi Menteri Besar Kedah buat kali kedua mungkin tidak kesampaian kerana jawatan berkenaan difahamkan tetap dipegang Bersatu.

Walaupun semalam Pesuruhjaya Pas Kedah Ahmad Yahaya berkata bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) Kedah di ambang kejatuhan dan parti itu bersedia menerajui kerajaan Kedah berikutan mempunyai 15 ADUN, percaturan di peringkat pusat adalah berbeza.

Menurut sumber, sekiranya kerajaan PH yang diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tumbang, calon bagi jawatan teratas kerajaan negeri itu tetap milik ADUN daripada parti Bersatu.

Mukhriz Mahathir

Menurut sumber itu lagi, keputusan mengekalkan Menteri Besar daripada Bersatu adalah “calculated move” yang bertujuan mengukuhkan kedudukan parti berkenaan di negeri ini yang merupakan antara negeri mempunyai bilangan orang Melayu yang ramai.

Ia adalah keputusan di peringkat Pusat yang melihat daripada pelbagai sudut dan sudah pasti sudut survival parti Bersatu antara yang menjadi keutamaan.

Cuma masa bila akan berlaku tidak dapat disahkan dengan jelas, yang pasti Mukhriz masih boleh menyambut Hari Raya aidilfitri sebagai Menteri Besar.

“Perancangan untuk menukar kepimpinan kerajaan di negeri Kedah telah ada cuma masa yang belum sesuai untuk melaksanakan gerakan berkenaan. Ya faktor masa adalah penentu kerana banyak perkara perlu diambil kira,” katanya.

“Semua sudah siap sedia, bilangan ADUN juga sudah cukup untuk membentuk kerajaan baharu. Beberapa ADUN Bersatu dan PKR juga sudah bersetuju beralih kem. Adalah jelas beberapa orang ADUN dan Exco kerajaan negeri menjauhkan diri daripada Mukhriz sejak Februari lepas,” jelasnya.

Sumber itu menjelaskan lagi bahawa situasi di Kedah akan sama seperti di Perak. Di Perak walaupun bilangan ADUN UMNO adalah teramai, kerusi Menteri Besar Perak tetap kekal milik Bersatu.

“Apabila ADUN UMNO di Perak terpaksa memendam rasa kerana tidak dapat kerusi Menteri Besar, sama juga Pas di Kedah terpaksa berkorban kerana percaturan peringkat lebih tinggi” kata beliau.

Selain Mukhriz yang mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra, terdapat lima lagi ADUN yang mewakili Bersatu di negeri ini.

Mereka adalah Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Juhari Bulat (Ayer Hangat), Mohd Firdaus Ahmad (Kuah), Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Datuk Amiruddin Hamzah (Anak Bukit).

Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail

Amiruddin diketahui adalah cenderung kepada Mukhriz dan antara pemimpin Bersatu yang menentang penubuhan kerajaan Perpaduan Nasional (PN).

Akhbar Sinar Harian pada Mac lepas pernah melaporkan cadangan penganalisis politik, Md Shukri Shuib agar kerusi Menteri Besar Kedah dikekalkan kepada Bersatu dan beliau melihat Dr Ku Abdul Rahman adalah calon yang sesuai berdasarkan pengalaman dan kelayakan akademik.

Beliau berkata, walaupun Pas mendominasi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah daripada keseluruhan 36 kerusi, ia tidak boleh diterjemahkan sebagai petanda awal Pas bakal menduduki kerusi Menteri Besar walaupun memperoleh dua sokongan daripada ADUN UMNO.

Menurutnya, adalah lebih baik untuk Pas memberi ruang kepada Bersatu untuk mengekalkan kerusi Menteri Besar kepada mana-mana wakil rakyat Bersatu, sebagai lambang kompromi bagi membentuk kerajaan negeri baharu.

“Situasi Bersatu di Pusat dan Kedah kelihatan berbeza kerana wakil rakyat di Kedah mengambil sikap tunggu dan lihat selain sentimen untuk menjaga kepentingan Bersatu dan Menteri Besar sedia ada, Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih menebal,” katanya seperti dilaporkan akhbar harian berkenaan.

Sumber yang sama menjelaskan faktor masa pertukaran adalah juga penting kerana peristiwa pertukaran Mukhriz pada tahun 2016 telah menjejaskan politik Kedah dan menimbulkan rasa tidak senang banyak pihak.

Jikalau hendak ditukar, siapa yang menduduki jawatan Menteri Besar Kedah boleh berubah sejak awal Mac lagi, tetapi ia tidak berlaku sehingga sekarang, katanya.

Kolumnis The Star Joceline Tan dalam analisisnya menulis Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu memberi peluang Mukhriz bermain sentimen menjadi mangsa sekiranya beliau digugurkan daripada jawatan Menteri Besar.

Tulis beliau, ia akan berubah sekiranya Muhyiddin dapat mengekalkan kerusi Presiden Bersatu dengan menewaskan Mukhriz, tetapi sekiranya Mukhriz menang kerusi Presiden Bersatu, kerajaan akan berubah sekali lagi.

Namun, cadangan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah Datuk Paduka Md Rozai Shafian agar pilihan raya negeri diadakan boleh dipertimbangkan. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com