Friday, 19, April, 2024
Utama Umum Abdul Aziz dedah hampir 2 kali tinggalkan UMNO

Abdul Aziz dedah hampir 2 kali tinggalkan UMNO

oleh Wartawan Kedah Gazette
Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir

ALOR SETAR – Bekas Ketua UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir mendedahkan beliau hampir dua kali ingin meninggalkan UMNO tetapi membatalkan hasrat itu kerana sayangkan parti walaupun ditawarkan berbuat demikian.

Menurutnya, sehingga kini, beliau berjanji terus berkhidmat kepada UMNO walaupun sudah tidak mempunyai jawatan dalam parti.

Abdul Aziz, 57, yang tidak mempertahankan jawatan ketua bahagian itu pada pemilihan tahun 2018 berkata, beliau akan terus berkhidmat dan berbakti kepada UMNO sebagai penyokong, pendokong dan ahli yang setia.

“Jika mengimbas kembali sejarah lalu, ada beberapa detik dan ketika, berlaku beberapa kejadian yang mana hampir terpengaruh oleh nafsu untuk meninggalkan UMNO.

“Pertama, ketika berlakunya krisis antara Tun Dr Mahathir Mohamed dan Datuk Ser Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

“Saya ketika itu adalah Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, saya tidak dapat menerima keputusan mendadak Dr Mahathir yang disokong oleh sebahagian besar Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk memecat Datuk Seri Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO,” katanya dalam ciapan di Facebooknya hari ini.

Beliau juga merupakan bekas Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd.

Abdul Aziz yang juga mantan ahli Parlimen Kulim/Bandar Baharu selama satu penggal selepas pilihan raya umum 2013 berkata, beliau melihat krisis ini lebih bersifat berkepentingan peribadi semata-mata kerana ketika itu Mahathir sudah mula diasak untuk melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

“Saya masih ingat waktu itu saya bersama dengan Roslan Kasim berjumpa dengan Ezam Mohd Nor di Jakarta dan kami dimaklumkan bahawa Anwar berhajat untuk membentuk parti baru ketika itu. Saya turut diajak bersama untuk pembentukan parti baru ini.

“Namun ketika dalam penerbangan pulang ke Kuala Lumpur, Alhamdulillah saya diberi kekuatan untuk terus kekal istiqamah di dalam UMNO kerana tidak sanggup mengkhianati perjuangan parti yang mulia ini,” ujarnya lagi.

Beliau menambah, sekali lagi beliau berdepan dengan keadaan yang hampir sama iaitu ketika krisis pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Timbalan Perdana Menteri dan juga Timbalan Presiden UMNO.

“Saya sekali lagi bersyukur kerana tidak dipengaruhi oleh nafsu kemarahan kepada pemimpin UMNO (yang memecat Muhyiddin) dan tetap kekal di dalam parti keramat ini.

“Saya percaya pengalaman dan kisah saya ini sudah tentu turut dilalui oleh ramai ahli dan pemimpin UMNO yang lain,” katanya lagi.

Mengulas ulang tahun ke-74 UMNO, beliau menegaskan UMNO dipercayai dan diterima kerana ia mempunyai barisan kepimpinan yang bersih, cekap dan amanah.

“Marilah kita mendoakan agar UMNO kembali menjadi wadah perjuangan orang Melayu dan Islam serta insha Allah akan kembali menjadi teraju pentadbiran negara,” katanya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com