Tuesday, 16, April, 2024
Utama Politik Sanusi hampir pasti MB baru Kedah

Sanusi hampir pasti MB baru Kedah

oleh Wartawan Kedah Gazette

ALOR SETAR – Dari bahasa badan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri semasa sidang akhbar di Kompleks Pas Kedah, Alor Setar hari ini, Muhamad Sanusi Md Nor jelas mengambarkan susuk berkenaan bahawa beliau bakal mengangkat sumpah Menteri Besar Kedah yang ke-14 dalam masa beberapa hari lagi.

Muhamad Sanusi Md Nor

Difahamkan hanya nama beliau yang dicadangkan akan dipersembahkan kepada Tuanku Sultan Kedah.

Malah Muhamad Sanusi sendiri dalam sidang akhbar itu mengesahkan hanya satu nama yang akan dicadangkan.

Difahamkan pemimpin utama parti Perikatan Nasional (PN) dijangka mengadap Tuanku Sultan Kedah sama ada Khamis atau Jumaat ini.

Satu sumber berkata, walaupun belum ada tarikh yang ditetapkan pihak istana Sultan Kedah bagi menghadap Tuanku, tetapi difahamkan Khamis atau Jumaat akan berlaku proses mengadap.

Sementara itu, majlis angkat sumpah jawatan Menteri Besar yang baru boleh dilaksanakan dalam masa sehari dua selepas majlis menghadap pemimpin PN berkenaan.

Beliau senada dengan Muhamad Sanusi bahawa pelantikan Menteri Besar baharu Kedah akan selesai sebelum 18 Mei ini.

Pada sidang akhbar itu, Muhamad Sanusi mengumumkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah hilang majoriti sokongan apabila 23 daripada 36 ADUN hilang kepercayaan kepada pentadbiran beliau.

Daripada 23 ADUN yang hilang kepercayaan, dengan menandatangani surat akuan yang diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim, seramai 15 ADUN itu adalah daripada Pas, masing-masing dua daripada PKR dan BN serta empat Adun Bersatu.

Bilangan itu hanya kekurangan satu kerusi bagi mendapat majoriti 2/3 iaitu 24 kerusi.

Sumber yang sama menjelaskan, Mukhriz sekarang mempunyai pilihan bersifat “gentlemen” iaitu meletakkan jawatan.

“Saya fikir pilihan paling baik bagi beliau adalah melepaskan jawatan dengan hormat. Dalam politik apabila kita sudah tiada sokongan, berundur adalah pilihan paling terhormat,” katanya.

Namun kata sumber itu, Mukhriz boleh bertindak sebaliknya dengan memohon perkenan Sultan Kedah bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri.

“Langkah ini mungkin sukar terlaksana kerana keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah terletak di tangan Tuanku Sultan Kedah,” katanya.

Sementara itu satu sumber yang lain menjelaskan proses bagi mengantikan kerajaan negeri di Kedah perlu dilakukan dengan teratur.

Muhamad Sanusi (tengah) bergambar bersama ADUN Sidam Dr Robert Ling Kui Ee (dua dari kanan) dan ADUN Lunas, Azman Nasrudin (dua dari kiri) di Alor Setar hari ini.

Beliau menjelaskan ADUN yang tidak lagi menyokong pentadbiran sekarang perlu menyatakan pendirian mereka menerusi surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, yang kemudian setelah berpuas hati akan menghadap Tuanku Sultan Kedah bagi memaklumkan perkara berkenaan.

Katanya, sama seperti proses perubahan tampuk kepimpinan kerajaan negeri pada 2016, pendirian ADUN diambil kira dahulu dan kemudian Tuanku membuat keputusan.

Beliau berkata seperti kali ini hanya satu nama dicadangkan untuk jawatan Menteri Besar, semasa 2016 juga hanya nama Datuk Seri Ahmad Bashah yang dicadangkan.

Imbas kembali, pada hujung Januari 2016 pemimpin Barisan Nasional (BN) Kedah telah mengumumkan hilang kepercayaan kepada kepimpinan Mukhriz dan mendesak beliau meletak jawatan. Kemudiannya Ahmad Bashah telah dilantik Menteri Besar.

Sumber berkenaan ketika ditanya ada kemungkinan Tuanku Sultan Kedah meminta lebih satu nama dicalonkan sebagai Menteri Besar, beliau berkata “saya yakin ia sama dengan 2016 iaitu hanya satu nama dicadangkan”.

Ditanya bagaimana Bersatu boleh beralih sokongan kepada Mukhriz beliau berkata, ia sifir politik yang mudah difahami.

“Empat ADUN Bersatu berkenaan mereka lebih mengikut arus parti Bersatu. ADUN Bersatu itu meletak kepentingan parti dengan menyokong Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada menyokong PH Kedah,” katanya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com