Saturday, 20, April, 2024
Utama Politik Kerajaan PN Kedah akan lebih mantap, stabil

Kerajaan PN Kedah akan lebih mantap, stabil

oleh Wartawan Kedah Gazette

ALOR SETAR – Rakyat di negeri ini tidak perlu merasa bimbang terhadap kestabilan kerajaan baharu kerana ia bakal menjadi sebuah kerajaan yang kuat dan padu di bawah Perikatan Nasional (PN).

Pesuruhjaya Pas Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, pembentukan kerajaan baharu ini melalui sokongan 23 Ahli Dewan Undangan (ADUN), hanya kurang satu kerusi bagi memperolehi majoriti dua pertiga adalah merupakan suatu jumlah yang besar

“Allah mentakdirkan berlaku satu peristiwa penting di negeri ini iaitu proses pertukaran Kerajaan Negeri Kedah yang baharu.

“Ia berlaku apabila 23 ADUN mengisytiharkan hilang kepercayaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ustaz Ahmad berkata, Pas sebagai tonggak utama yang mempunyai 15 kerusi ADUN akan memantapkan kerjasama dengan semua ADUN kerajaan bagi mempastikan perjuangan membawa kesejahteraan untuk semua rakyat dapat direalisasikan.

Tambahnya, kerajaan yang akan dibentuk juga sama sekali tidak akan mengenepikan kepentingan pelbagai kaum yang terdapat di negeri ini.

“Kaum bukan Melayu/Islam masih mempunyai wakil dalam kerajaan iaitu ADUN Sidam, YB Dr Robert Ling Kui Ee,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, Pas Kedah mengharapkan doa restu dari rakyat, agar proses pembentukan kerajaan baharu PN Kedah berjalan dengan lancar, tenang dan harmoni, khususnya di saat semua rakyat sedang berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19.

Semalam, ADUN Jeneri, Muhamad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan Bersatu-Pakatan Harapan (PH) di Kedah telah hilang kepercayaan dan keabsahan kuasa selaku kerajaan negeri Kedah selepas PN mempunyai majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan baru negeri itu

Menurut beliau, keadaan tersebut berlaku selepas seramai 19 daripada 23 ADUN telah bersetuju untuk membentuk kerajaan negeri Kedah atas nama PN.

“Seramai 23 ADUN telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Mukhriz selaku Menteri Besar Kedah,” kata Muhamad Sanusi. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com