Friday, 29, March, 2024
Utama Politik Mukhriz sewajarnya segera letak jawatan

Mukhriz sewajarnya segera letak jawatan

oleh Wartawan Kedah Gazette
Syed Mohd Johan Rizal

ALOR SETAR – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah
berpendapat Datuk Seri Mukhriz selaku Menteri Besar wajar sembah maklum kepada Sultan Kedah mengenai sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang beliau miliki pada masa sekarang.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri
berkata, berdasarkan perkembangan terbaru wujud pertikaian Mukhriz tidak lagi mempunyai majoriti apabila 23 daripada 36 ADUN telah hilang keyakinan yang dizahirkan melalui akuan bersumpah (SD) masing-masing.

Menurutnya, ini kerana, Fasal 2 Seksyen 2(2a) Kadual Ke-8, Peruntukan Tetap Perkara 71 Undang-undang Tubuh Negeri memaktubkan bahawa Raja hendaklah melantik seorang Menteri Besar yang pada hemat baginda mendapat sokongan majoriti ADUN.

“Dalam.situasi ini, Menteri Besar mestilah membuktikan bahawa masih wujud sokongan majoriti pada beliau tidak mengambil kira daripada parti mana sokongan itu diterima,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Syed Mohd Johan Rizal berkata,
Menteri Besar juga harus menasihati Sultan Kedah untuk titah semua ADUN mengadap dan menzahirkan sokongan sama ada kepada Mukhriz ataupun individu lain.

“Raja boleh meminta cadangan lebih daripada satu nama Menteri Besar seperti yang berlaku di peringkat kerajaan Pusat baru baru ini,” katanya.

Beliau berkata, cabaran Mukhriz supaya pembangkang membawa usul semasa sidang DUN hanya taktik dan sandiwara spektra siri 2 bertujuan membeli masa dan meraih simpati rakyat bagi mengekalkan kerajaan beliau.

Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Katanya, langkah tersebut sebenarnya tiada keperluan seperti kes di Perak 2014, di Kedah 2016 dan yang terbaru kes pelantikan Perdana Menteri terbaharu.

“Sidang DUN masih lama, iaitu masih ada lima bulan masanya kerana sidang terakhir diadakan 16 April lepas. Kita juga bimbang selama tempoh lima bulan lagi itu, pentadbiran negeri akan wujud kepincangan. Kerajaan negeri juga tidak stabil,” katanya.

Pada masa ini, Syed Mohd Johan Rizal berkata,
Mukhriz mempunyai tiga pilihan selepas beliau dilaporkan tidak mempunyai sokongan majoriti DUN Kedah.

Katanya, pilihan pertama, beliau besar hati dan bersifat sebagai ahli politik hebat dengan letak jawatan dan menyerahkan kepada Sultan Kedah untuk menentukan parti yang mempunyai sokongan majoriti.

“Seperti yang berlaku di Perak baru baru ini, apabila Menteri Besarnya meletak jawatan dan mengembalikan kuasa kepada Sultan Perak membuat pilihan mengikut undi majoriti ADUN.

“Ini adalah pilihan terbaik bagi mengelakkan Kedah berpanjangan dengan krisis politik, yang boleh mengugat keutuhan kerajaan negeri terutama dalam keadaan genting dengan wabak covid 19 sekarang ini,” katanya

Tambahnya, pilihan kedua mengadakan Sidang DUN tergempar dengan segera.

“Pilihan ketiga pula membawa kepada perkenan Sultan untuk membubarkan DUN, hanya Sultan Kedah boleh memberi perkenan bagi pembubaran DUN.

Mukhriz Mahathir

“Walaupun langkah ini antara pilihan yang ada, ia bukanlah pilihan bijak kerana membazir wang rakyat kerana pilihan raya negeri memerlukan bajet yang besar dan keadaan Covid-19 juga menunjukkan pilihan ini tidak sesuai,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, Mukhriz harus menamatkan episod politik Kedah ini dengan segera dan jangan mengheret rakyat dengan drama politik tidak berkesudahan.

“Yang terbaik beliau (Mukhriz) lepaskan jawatan dengan segera dan mudahkan Tuanku Sultan dalam buat keputusan,” katanya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com