Friday, 19, April, 2024
Utama Politik Mukhriz jatuh 2 kali, anak didik Ustaz Azizan jadi MB baru Kedah

Mukhriz jatuh 2 kali, anak didik Ustaz Azizan jadi MB baru Kedah

oleh Wartawan Kedah Gazette
Muhamad Sanusi (depan kanan) bergambar dengan bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Ustaz Azizan.

ALOR SETAR – Betul kata pepatah nasib manusia ini ibarat dunia yang berputar dan ada kalanya putaran itu amat kejam kepada mangsanya.

Putaran dunia juga yang merubah kedudukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, yang ‘jatuh’ buat kali kedua daripada kerusi Menteri Besar Kedah.

Putaran dunia juga menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Muhamad Sanusi Mohd Nor diangkat martabat sebagai Menteri Besar yang baharu.

Ironinya, Mukhriz mengantikan Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak selepas Pilhan Raya Umum Ke-13 dan sekarang, anak didik Ustaz Azizan pula menggantikan Mukhriz.

Sebelah pagi esok, Mukhriz dijangka membuat pengumuman beliau melepaskan jawatan Menteri Besar dan pada sebelah petang pula Muhamad Sanusi akan mengangkat sumpah jawatan.

Seorang pemerhati politik, Azizi Safar menyatakan Mukhriz bakal mencatat sejarah dua kali jadi Menteri Besar, dua kali juga tak habis penggal dan kedua-kedua keadaan adalah sama beliau hilang sokongan daripada ADUN.

Azizi berkata, kali pertama beliau menjawat jawatan Menteri Besar adalah 6 Mei 2013 hingga 3 Februari 2016 (32 bulan) dan kali kedua pula 11 Mei 2018 hingga 16 Mei 2020 (24 bulan)

“Dua kali, bukan sekali. Dua kali, hilang jawatan kerana orang sendiri dah tak yakin dengan dia untuk terus jadi Menteri Besar. Mukhriz patut fikir bersara terus daripada politik Malaysia. (Boleh balik cuba nasib di Brunei pulak),” katanya sinis dalam tulisan di facebooknya.

Azizi juga menyenaraikan perjalanan sejarah politik Mukhriz.

  1. Kalah bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu kepada seorang unknown semasa bapa dia masih Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Ketua Bahagian Kubang Pasu.
  2. Kalah bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia kepada Khairy Jamaluddin
  3. Kalah bertanding jawatan Naib Presiden UMNO walaupun dia anak mantan Presiden UMNO dan mantan Perdana Menteri.

“Tun Dr Mahathir Mohamad pun tak pernah yakin anak dia yang ini boleh berjaya dalam politik,” kata Azizi dengan menambah Mukhriz lebih sesuai jadi orang berniaga dan ‘enjoy his millions’ yang dia ada dan gaya hidup ‘of the rich and famous’ yang lebih sesuai dengan dia dan famili dia.

“Tok sah la berlakon, duk lagak nak kalut jadi hero rakyat terlibat dengan politik. Tak payah duk yahanana lagi dah dengan jubah putih, kepiah putih. Dua kali dah jadi Menteri Besar Kedah tapi tak dak apa satu pun boleh tunjuk jasa dia sebagai Menteri Besar Kedah. Tak ada satu legasi yang ditinggalkan dan boleh dibanggakan,” katanya.

Sementara seorang lagi pemerhati politik, Baha Azuwan menulis kejatuhan Mukhriz adalah juga berpunca daripada penasihat (pegawai) beliau yang ‘merak buih’.

“Saya kasihan dengan orang Kedah yang silap pilih Menteri Besar dua kali,” katanya.

Sebaliknya, di kem Pas mereka meraikan dengan kesyukuran kembali menerajui kerajaan negeri Kedah selepas Ustaz Azizan Razak dari tahun 2008 hingga 2013.

Muhamad Sanusi, yang merupakan anak didik Ustaz Azizan kerana merupakan Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah ketika itu, dilihat mempunyai aura dan lentok seperti Azizan.

Sebab itulah update terbaru facebook bakal Menteri Besar baharu Kedah itu adalah berkisar kenangan bersama Azizan.

Walaupun begitu rakyat Kedah menerima dengan terbuka pelantikan Muhammad Sanusi dan mengharapkan beliau dapat membawa Kedah lebih cemerlang, menjalankan pentadbiran dengan bijak sana, berhemah.

Semoga harapan tinggi orang Kedah itu sentiasa menjadi panduan Muhamad Sanusi, dan tidak alpa dunia itu sentiasa berputar. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com