Friday, 29, March, 2024
Utama Politik Mukhriz tidak belajar daripada pengalaman, bakal disingkir sebagai MB buat kali kedua

Mukhriz tidak belajar daripada pengalaman, bakal disingkir sebagai MB buat kali kedua

oleh Wartawan Kedah Gazette
Mukhriz Mahathir

ALOR SETAR – Nama Datuk Seri Mukhriz Mahathir bakal terpahat dalam sejarah negeri Kedah dilantik dua kali sebagai Menteri Besar.

Sebelum ini tidak terdapat dalam senarai Menteri Besar yang memegang jawatan itu sebanyak dua kali sejak pelantikan Menteri Besar Kedah pertama, Mohamad Sheriff Osman pada tahun 1948.

Itulah keistimewaan dimiliki Mukhriz yang merupakan anak kelima kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Mukhriz kali pertama memegang jawatan itu adalah selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) pada tahun 2013.

Pada masa itu, beliau juga merupakan ADUN Ayer Hitam selepas memenangi kerusi tersebut pada PRU itu.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah ke-11 ketika itu didakwa gagal menjalankan tugas sebaiknya apabila beliau dikatakan kononnya lebih banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur.

Sebaliknya, beliau menyerahkan tugas-tugas ‘menjaga’ negeri kepada barisan Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan pentadbiran kerajaan negeri serta pegawai-pegawai kanannya ketika itu.

Kebanyakan rakyat ketika itu juga didakwa tidak berpuas hati dengan prestasi Menteri Besar mereka.

Pada peringkat awal pelantikannya sebagai Menteri Kedah, rakyat Kedah begitu gembira dan teruja.

Bagaimanapun, impian rakyat Kedah melihat Mukhriz menjadi Menteri Besar yang berwibawa dengan membawa negeri ke mercu kejayaan lebih hebat tidak kesampaian.

Pada masa sama, pergolakan dalam pentadbirannya juga tidak dapat dielakkan apabila sekumpulan pemimpin UMNO yang diketuai ADUN Bakar Bata, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah ketika itu secara terbuka menyatakan mereka hilang kepercayaan kepada kepimpinan Mukhriz pada 20 Januari 2016.

Pemimpin UMNO di negeri itu juga tidak berpuas hati selepas bapanya, Mahathir begitu lantang menyerang Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak bersabit skandal 1MDB, Mukhriz didesak meletak jawatan.

Dua minggu kemudian, Mukhriz telah meletakkan jawatannya itu.

“Menjamin kesejahteraan rakyat Kedah adalah keutamaan saya. Bagi mengelak kemelut politik ini berpanjangan sehingga menjejaskan pentadbiran negeri dan merugikan rakyat, maka saya mengambil pendirian melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta,” katanya ketika pengumuman peletakan jawatannya.

Susulan itu, pada 3 Febuari 2016, Ahmad Bashah dilantik menjadi Menteri Besar Kedah ke-12 menggantikan Mukhriz.

Ahmad Bashah

Kerjaya politik Mukhriz tidak berakhir selepas meletakkan jawatan Menteri Besar sebaliknya mengikut jejak bapanya yang menubuhkan parti Bersatu.

Beliau kemudian dilantik sebagai sebagai Ketua Pakatan Harapan (PH) Kedah.

Pada PRU-14, Mukhriz bertanding semula sebagai calon PH (Bersatu) bagi DUN Jitra dan Parlimen Jerlun.

Bagi kerusi DUN Jitra, Mukhriz menang dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Aminuddin Omar dan calon Pas, Zulhazmi Osman dengan majoriti 10,849 undi.

Selain itu, Mukhriz yang juga menang di Parlimen Jerlun mengenepikan calon BN, Datuk Othman Aziz dan Pas Abd Ghani Ahmad dengan majoriti 10,195 undi.

Pada PRU-14 itu, PH memenangi 18 daripada 36 kerusi DUN negeri itu manakala Pas pula memenangi 15 kerusi dan BN pula tiga kerusi.

Selepas itu, PH dapat membentuk kerajaan negeri dan Mukhriz mengangkat sumpah buat kali kedua sebagai Menteri Besar Kedah di Istana Anak Bukit pada 11 Mei 2018.

Istiadat mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan itu berlangsung di hadapan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Kebanyakan rakyat pada ketika menaruh keyakinan penampilan Mukhriz sebagai Menteri Besar kali kedua ini lebih hebat berbanding sebelum ini.

Harapan yang tinggi itu diletakkan di bahu Mukhriz memandangkan ketika itu bapanya juga dilantik sebagai Perdana Menteri kerajaan PH.

Pada ketika itu, rakyat Kedah turut percaya kerajaan baru PH lebih mengutamakan rakyat dalam banyak perkara.

Bagaimanapun, harapan menggunung rakyat itu semakim terhakis apabila didakwa kononnya peragai Mukhriz tidak jauh berbeza semasa memegang jawatan Menteri Besar kali pertama.

Beliau juga didakwa selalu hilang dari radar dan lebih banyak masa berada di Kuala Lumpur walaupun Exco kerajaan negeri berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Namun rakyat masih mengharapkan sentuhan Menteri Besar mereka dalam menguruskan negeri Jelapang Padi ini.

Suasana politik di Kedah mula berkocak apabila Tan Sri Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Mahathir meletakkan jawatannya.

Pada masa sama, Mahathir juga mengumumkan Bersatu keluar daripada gabungan PH.

Perkembangan tersebut memberi kesan kepada Mukhriz apabila terpaksa membentuk kerajaan negeri menerusi gabungan Bersatu dan PH di Kedah.

Kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar mula tergugat selepas ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee dan ADUN Lunas, Azman Nasrudin mengisytiharkan keluar PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Muhyiddin.

Dr Robert Ling Kui Ee
Azman Nasrudin

Selain itu, difahamkan empat ADUN Bersatu juga hilang kepercayaan kepad Muhriz.

Perikatan Nasional (PN) Kedah selepas itu mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 ADUN termasuk daripada (Bersatu).

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, 23 ADUN itu adalah 15 daripada Pas, empat Bersatu dan masing-masing dua daripada UMNO dan bebas yang juga bekas ADUN PKR.

Menurut beliau, penubuhan kerajaan negeri yang baharu itu dibentuk setelah kesemua ADUN hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Mukhriz Mahathir, seterusnya menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan beliau hilang kuasa mentadbir negeri.

Perkembangan itu menyaksikan Mukhriz bukan sahaja dua kali dilantik Menteri Besar Kedah tetapi juga bakal biat kali kali disingkir lebih awal. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com