Friday, 26, April, 2024
Utama Politik Nama Mohamad Sanusi sahaja disenaraikan bakal angkat sumpah MB esok

Nama Mohamad Sanusi sahaja disenaraikan bakal angkat sumpah MB esok

oleh Wartawan Kedah Gazette
Muhamad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Nama Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Jenari, Muhamad Sanusi Md Nor difahamkan merupakan satu-satunya yang disenaraikan sebagai bakal dilantik Menteri Besar Kedah esok.

Sehingga lewat petang ini, tiada nama ADUN lain yang disebut-sebut sebagai Menteri Besar baharu.

Majlis mengangkat sumpah Menteri Besar itu akan berlangsung pada pukul 2 petang di Wisma Darul Aman di sini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim akan memulakan majlis itu dengan melafazkan surat pengisytiharan pelantikan Menteri Besar.

Menteri Besar yang baharu selepas itu akan mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan menandatangi surat sumpah tersebut.

Sultan Sallehuddin kemudian akan mengurniakan tauliah pelantikan Menteri Besar Kedah itu.

Kedudukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar tergugat selepas beliau dilaporkan hilang sokongan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mukhriz hilang sokongan majoriti setelah dua ADUN daripada PKR, Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) dan Azman Nasrudin (Lunas) mengumumkan keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Malah selepas itu, difahamkan seramai 25 ADUN didakwa menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri ini. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com