Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri Buktikan kerajaan PN Kedah bukan ‘biase biase’

Buktikan kerajaan PN Kedah bukan ‘biase biase’

oleh Wartawan Kedah Gazette
Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah (tengah) bergambar bersama Muhammad Sanusi (barisan depan. tiga dari kiri) dan barisan exco kerajaan negeri.

ALOR SETAR – Barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah baharu yang mengangkat sumpah sebentar tadi, mempunyai tanggungjawab yang besar dalam menunaikan visi kerajaan dan memenuhi kehendak rakyat.

Dengan enam daripada 10 orang Exco itu adalah berpengalaman di portfolio masing-masing, rakyat mahu melihat kepimpinan kerajaan negeri segera bekerja bagi menunaikan tanggungjawab terhadap kira-kira 2.2 juta rakyat negeri ini.

Oleh kerana, mereka mempunyai masa maksimum 36 bulan sebelum pilihan raya umum akan datang, kerja perlu bermula segera, tiada istilah hendak menyesuaikan diri atau baru belajar kepada Exco yang pertama kali memegang jawatan berkenaan.

Tempoh masa 36 bulan juga penting untuk membuktikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah bukan ‘biase biase”. Penghasilan daripada dasar dan gerak kerja haruslah menepati keperluan rakyat.

Jangan lupa rakyat menilai dan melihat dan mereka akan membuat keputusan kembali pada pilihan raya umum akan datang sama ada untuk terus memberi peluang kepada kepimpinan yang ada sekarang atau membuat perubahan.

Di Wisma Darul Aman, barisan Exco berkenaan yang majoritinya berkelayakan profesional, mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Turut hadir pada majlis mengangkat sumpah itu adalah Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Exco-exco terlibat adalah Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Halimaton Saadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Mohd Firdaus Ahmad (Kuah). Ketiga mereka mewakili parti Bersatu.

Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menyampikan watikah perlantikan Exco kerajaan negeri di Wisma Darulaman Alor Setar sebentar tadi.

Turut dilantik adalah empat daripada Pas iaitu Datuk Dr Mohd Hayati Othman (Tokai), Datuk Siti Ashah Ghazali (Merbau Pulas), Datuk Najmi Ahmad (Kupang) dan Wan Romani Wan Salim (Bukit Pinang).

ADUN Sungai Tiang Datuk Suraya Yaacob adalah wakil tunggal Barisan Nasional (BN) sementara dua wakil rakyat bebas iaitu Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam Kiri) turut dilantik sebagai Exco.

Dr Ku Abdul Rahman, Suraya, Azman, Siti Aishah, Halimaton Saadiah dan Firdaus adalah wakil rakyat yang pernah menjadi Exco pada zaman pemerintahan parti yang berbeza iaitu Pas, BN dan Pakatan Harapan (PH).

Walaupun empat lagi adalah muka baru, mereka dilihat dapat bekerja dengan cekap berdasarkan pengalaman mereka dalam politik dan pentadbiran.

Wan Romani adalah berkelulusan Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempunyai pengalaman dalam kepimpinan kesatuan sekerja dan merupakan bekas pegawai Telekom Malaysia, sementara Dr Hayati adalah doktor perubatan yang pernah menjadi ahli Parlimen Pendang.

Najmi pula adalah bekas Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (Kagat) berkelulusan Syariah daripada Universiti Al-Azhar sementara Dr Robert adalah doktor perubatan berkelulusan daripada universiti di India.

Dengan enam Exco berpengalaman dan empat muka baharu diharapkan Kedah lebih gemilang dan makmur.

Tugas menanti mereka agak mencabar antaranya meningkatkan kembali ekonomi yang terjejas akibat covid-19 dengan melihat isu ini secara serius dan mencari penyelesaian tersendiri dalam konteks Kedah.

Kerajaan negeri juga perlu mengkaji semula kaedah penyaluran bantuan covid-19 yang kerajaan negeri dilaporkan tidak sampai kepada golongan sasar.

Begitu juga soal bekalan air yang masih lagi menjadi masalah besar di beberapa kawasan dan isu tunggakan bayaran gaji pemain pasukan bola sepak Kedah.

Diharapkan juga cakap-cakap bahawa orang ramai tidak mengenali Exco semasa pentadbiran kerajaan PH yang memerintah selama 24 bulan tidak lagi berlaku.

Seorang ahli politik veteran Kedah pernah memberitahu bahawa setiap Menteri Besar mempunyai cara yang berbeza dalam ‘kawalan Exconya’.

Ada Menteri Besar yang memberi kebebasan kepada Exco menjalankan kerja berdasarkan portfolio Exco, ada Menteri Besar bersikap kawalan penuh dan ada yang bersifat demokrasi terkawal.

Senarai Exco Kerajaan Negeri Kedah

  1. Muhammad Sanusi Md Nor
    Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Kewangan, Majlis Ekonomi Kedah (KEC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC).
  1. Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail
    Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Pengajian Tinggi.
  2. Datuk Dr Mohd Hayati Othman
    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan.
  3. Azman Nasrudin
    Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perusahan Perladangan dan Komuniti, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India.
  4. Datuk Suraya Yaacob
    Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga.
  5. Halimaton Shaadiah Saad
    Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Kebajikan.
  1. Datuk Siti Aishah Ghazali
    Pengerusi Jawatankuasa Pembamgunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Pembangunan Insan.
  2. Brigedier Jeneral Datuk Najmi Ahmad
    Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan dan Sumber Manusia.
  3. Wan Romani Wan Salim
    Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi, Multimediadan, Perdagangan Dalam Negeri dam Hal Ehwal Pengguna.
  4. Robert Ling Kui Ee
    Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam.
  5. Mohd Firdaus Ahmad
    Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
  • KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com