Wednesday, 17, April, 2024
Utama Politik Ketua-ketua bahagian Bersatu Kedah sepakat sokong Mahathir, Mukhriz

Ketua-ketua bahagian Bersatu Kedah sepakat sokong Mahathir, Mukhriz

oleh Wartawan Kedah Gazette
Dr Mahathir Mohamad

ALOR SETAR – Ketua-Ketua Bahagian Parti Bersatu Malaysia Negeri Kedah (Bersatu) bersepakat menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi Bersatu.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, mereka turut menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir selaku Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Kedah.

Katanya, kepemimpinan kedua-duanya di dalam parti peringkat Pusat dan negeri adalah sah dari segi Perlembagaan Bersatu dan dengan yang demikian tidak wajar dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Kami kesal dengan tindakan individu-individu tertentu, termasuk di kalangan sebilangan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, yang dalam keghairahan untuk menyatakan sokongan terhadap Presiden Bersatu dan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, sanggup mengusulkan cadangan memecat Mahathir sebagai Pengerusi dan Mukhriz sebagai Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Kedah.

Mukhriz Mahathir

“Harus diingatkan bahawa semasa tercetusnya kemelut kepimpinan, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu telah menolak peletakan jawatan oleh Mahathir sebagai Pengerusi. Susulan perjumpaan dengan pimpinan parti, Mahathir akhirnya telah menghormati rayuan Majlis Pimpinan Tertinggi supaya beliau kekal sebagai Pengerusi,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, selayaknya Mahathir kekal menerajui Bersatu sebagai Pengerusi, jawatan yang dipertahannya tanpa dicabar semasa pencalonan pemilihan jawatan-jawatan tertinggi parti.

“Kami mengecam sebarang usaha jahat untuk memecat Mahathir dan Mukhriz. Muslihat dan desakan untuk menyingkir kedua-dua pengasas Bersatu ini adalah sangat tidak beretika dan harus ditentang.

“Oleh yang demikian, kami menggesa semua pihak supaya terus berpegang kepada prinsip perjuangan yang mulia, beramanah dan mendokong Perlembagaan Bersatu, serta menyantuni hasrat ahli akar umbi demi kesejahteraan parti yang dicintai ini,” kata kenyataan itu lagi.

Selain itu, tambah kenyataan itu, mereka amat berharap kemelut kepimpinan Bersatu dapat diselesaikan dengan tuntas dan bijaksana yang bersendikan akhlak mahmudah bagi meletakkan semula perjuangan kesemua ahli di landasan yang lurus dan bertepatan dengan cogan kata parti iaitu Bersatu, Beramanah, Bermaruah.

“Hanya dengan menolak pengkhianatan dan kembali mendokong perjuangan yang berintegriti dan bermaruah, BERSATU akan dihormati dan disanjungi oleh rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com