Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri Pemimpin UMNO di Kedah masih bertapa dalam gua

Pemimpin UMNO di Kedah masih bertapa dalam gua

oleh Wartawan Kedah Gazette

ALOR SETAR – Kebanyakan pemimpin UMNO di negeri Kedah didapati masih bertapa dalam gua walaupun negeri itu telah ditadbir Perikatan Nasional (PN) kira-kira dua minggu lalu.

Mereka seolah-olah masih malu untuk tampil di khalayak selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah teruk di Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Ramai dalam kalangan pemimpin UMNO di peringkat negeri dan bahagian di Kedah masih menyembunyikan diri, seolah-olah merajuk selepas kecewa ditolak oleh rakyat pada PRU-14.

Penulis tidak pasti sama ada pemimpin UMNO yang berada dalam gua itu sedang mengasah kuku masing-masing sambil mandi bunga sebelum keluar sebelum bangkit semula dengan semangat baharu.

Kedahgazette.com difahamkan ada bahagian UMNO kurang aktif pada sebelum dan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penuluran COVID-19.

Sebaliknya dilaporkan banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terkesan dengan COVID-19.

Bagaimanapun, tidak dinafikan ada juga ketua UMNO bahagian di Kedah yang tetap aktif menjalankan aktiviti mendekati rakyat.

Namun, ada pula sumber yang memberitahu, pemimpin UMNO berkenaan mengambil sikap tunggu dan lihat sebab masing-masing menunggu UMNO negeri atau UMNO Pusat turunkan bajet untuk mereka berjumpa dengan rakyat.

Kata sumber itu, keadaan tersebut adalah berpunca mereka tidak mahu turun padang kalau tidak ada peruntukan yang diluluskan.

“Ini kerana, sebelum PRU-14 lalu, pemimpin UMNO itu telah diajar sedemikian. Ada duit baru nak buat kerja,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, seorang rakan penulis lama yang mahu dikenali Haji Saadon dari Kodiang berkata, pemimpin-pemimpin UMNO sepatutnya mengambil kesempatan ketika rakyat mula menolak Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu untuk membuktikan bahawa pemimpin UMNO jauh lebih baik dalam membela rakyat.

Pada waktu ini, mereka perlu ke hadapan memberi penerangan yang jelas kepada rakyat mengenai pergolakan yang berlaku dalam PH dan Bersatu.

“UMNO semakin diterima semula oleh rakyat selepas mendapati kerajaan yang diterajui oleh PH dan Bersatu di Kedah dan peringkat Pusat gagal memerintah dengan baik malah lebih teruk daripada kerajaan BN sebelum ini,” katanya lagi.

Selain itu, penulis melihat pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaakob dalam barisan Exco baharu kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor merupakan satu penghargaan kepada UMNO dan BN walaupun parti itu hanya mempunyai dua kerusi ADUN sahaja.

Pemimpin-pemimpin UMNO sepatutnya bangkit semula dengan mendekati rakyat tanpa mengira bangsa dan umur.

Janganlah nanti bila dekat dengan pilihan raya, mereka baru mula turun padang untuk menjengok rakyat.

Pada waktu itu, pemimpin UMNO itu sudah terlewat dan rakyat boleh menilai sendiri keikhlasan perjuangan mereka. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com