Wednesday, 24, April, 2024
Utama Negeri Pas kuasai lantikan ahli majlis PBT

Pas kuasai lantikan ahli majlis PBT

oleh Wartawan Kedah Gazette
Bangunan Majlis Bandaraya Alor Setar – Gambar hiasan

ALOR SETAR – Pas menguasai bilangan terbanyak ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini dalam lantikan baharu yang dijadual mengangkat sumpah dalam beberapa minggu akan datang.

Daripada 157 ahli majlis mewakili 12 kawasan Majlis Bandaraya dan Perbandaran, Pas diwakili 60 orang.

Berdasarkan senarai yang dilihat Kedah Gazette, UMNO pula mempunyai bilangan kedua teramai iaitu 55 orang dan Bersatu diwakili 42 orang.

Ahli majlis yang baharu itu akan menggantikan ahli majlis yang dilantik kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini.

Menurut seorang bekas ahli Majlis Bandaraya Alor Setar yang tidak mahu namanya disebut, secara asasnya ahli majlis berperanan seperti wakil rakyat iaitu mewakili kepentingan orang ramai dan masyarakat setempat.

Mereka juga menjadi menjadi tenaga penggerak masyarakat dan menjadi mata dan telinga PBT iaitu menggalakkan penglibatan orang ramai mengambil bahagian bagi menjayakan apa jua program yang dianjurkan oleh kerajaan atau PBT.

Sementara itu, seorang pemimpin politik pula menyatakan komposisi bilangan ahli PBT yang mewakili parti itu memberi cerminan tentang kedudukan kerusi yang bakal ditandingi pada pilihan raya umum akan datang.

“Daripada kedudukan ahli majlis, jelas memberi gambaran Pas akan menguasai banyak kerusi di Kedah pada pilihan raya umum akan datang,” katanya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com