Friday, 19, April, 2024
Utama Politik Sahabat bertukar menjadi musuh, kisah Pak Tam dan Mukhriz

Sahabat bertukar menjadi musuh, kisah Pak Tam dan Mukhriz

oleh Wartawan Kedah Gazette

ALOR SETAR – Penulis ingin mencatatkan kisah bagaimana seorang sahabat yang dinaikkan sehingga mencipta kejayaan demi kejayaan dalam politik, akhirnya menjatuhkan kembali orang yang bekerja keras “mendirikan tangga, menebas laluan” buat beliau sebelum ini.

Bagi orang politik, mereka akan anggap sebagai asam garam.

Kedah Gazette ingin berkongsi kisah ini, buat tatapan pembaca, yang diceritakan sendiri oleh tuan tubuh.

Bagaimana persahabatan bermula.

Datuk Aminuddin Omar telah lama bersahabat baik dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir iaitu kira-kira 20 tahun lepas semasa mereka mula aktif dalam UMNO di Kubang Pasu.

Aminuddin, bekas Exco Kerajaan Negeri Kedah dan lebih dikenali sebagai Pak Tam merupakan pedamping setia kepada Mukhriz, yang dua kali menjadi Menteri Besar Kedah.

Sehinggakan pada masa Mukhriz didesak meletak jawatan Menteri Besar pada 2016, beliau penyokong kuat Mukhriz walaupun pada masa itu berisiko kehilangan jawatan Exco kerajaan negeri Kedah sekiranya melawan arus perubahan sokongan politik UMNO negeri.

Beliau berada bersama Mukhriz sewaktu pengumuman melepaskan jawatan Menteri Besar pada 2 Februari 2016, dan sudah bersiap sedia keluar dari pejabat Exco apabila Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar.

Namun dikekalkan sebagai Exco kerajaan negeri dan telah melakukan tugas dengan baik.

Bermulanya perjalanan yang panjang mendaki tangga politik.

Apabila Mukhriz mahu bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Kubang Pasu pada tahun 2004, Pak Tam adalah antara tentera yang bergerak serata cawangan UMNO bagi memperkenalkan Mukhriz, yang masih baru dalam arena politik.

Namun Mukhriz kalah pada pemilihan Ketua Pemuda berkenaan dengan margin yang sedikit.

Begitu juga apabila Tun Dr Mahathir Mohamed mahu bertanding G7 UMNO Bahagian Kubang Pasu pada 9 September 2006, Pak Tam bekerja keras berkempen bagi pihak bekas Perdana Menteri itu walaupun menyedari beliau tidak akan popular kerana tidak bersama pendirian dengan kepimpinan UMNO Bahagian Kubang Pasu.

Dr Mahathir bagaimanapun kalah dalam pemilihan G7 berkenaan.

Persahabatan mereka terus erat sehingga pada Pilihan Raya Umum 2013 apabila dipilih bertanding Dewan Undangan Negeri Jitra.

Gosip politik semasa itu menyebut Pak Tam adalah calon yang dipilih sendiri oleh Mukhriz, yang semasa itu berjawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah.

Dan apabila Barisan Nasional (BN) merampas Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Mukhriz dilantik menjawat Menteri Besar dan beliau membawa masuk Pak Tam sebagai Exco Kerajaan Negeri, walaupun masa itu disifatkan sebagai junior, tiada pengalaman soal pentadbiran kerajaan negeri Kedah, berbanding beberapa ADUN BN.

Sehinggalah Mukhriz hilang jawatan Menteri Besar persahabatan mereka berterusan terus utuh, sehinggakan pada satu pertemuan dengan Mukhriz dan Dr Mahathir beliau mencadangkan Mukhriz menubuh parti baru supaya lebih berkesan bergerak, berbanding bergerak menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Persabahatan mereka agak kabur selepas penubuhan Bersatu dan Pak Tam memilih setia kepada UMNO dan tidak mahu menyertai parti serpihan UMNO berkenaan.

Gelanggang pertembungan dua sahabat.

Titik pertembungan sahabat itu memuncak apabila hampir Pilhan Raya Umum ke-14 pada tahun 2018 apabila Mukhriz, menerusi seorang pegawai beliau, telah memberi amaran sama ada Pak Tam menyertai mereka atau Mukhriz akan “melanggar beliau di DUN Jitra”.

Memilih setia kepada UMNO biar apa terjadi kerana berprinsip kedudukan di kerusi DUN Jitra adalah keputusan parti BN dan kemenangan adalah di tangan pengundi.

Tibanya Pilhan Raya Umum Ke-14, Mukhriz sah bertanding di DUN Jitra menentang sahabat sendiri, walaupun beliau mempunyai banyak lagi kawasan yang boleh dipilih seperti DUN Ayer Hitam yang diwakili pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

Pak Tam menerima dengan terbuka cabaran itu walaupun hati kecil beliau kecewa sahabat yang beliau bantu untuk naik selama ini begitu sekali nekad mahu menjatuhkan beliau.

Sejarah mencatatkan Mukhriz menang kerusi DUN Jitra dengan memperolehi 18,852 undi, jauh mengatasi Pak Tam yang mendapat 8,003 undi serta Zulhazmi bin Othman (Pas), 7,064 undi.

Walaupun keputusan berkenaan bagai dihiris pedang, jiwa tetap utuh bekerja untuk UMNO. Dengan sekarang berjawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu beliau tetap bekerja keras menjaga kebajikan orang ramai, meneruskan legasi perjuangan UMNO.

Terus Bekerja

Semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau dan pasukannya sibuk memberi bantuan makanan dan ikan di serata kawasan Jitra.

Politik berkhidmat, berbakti adalah satu kepuasan Pak Tam. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com