Saturday, 20, April, 2024
Utama Nasional 24 MIGRAN YANG DIKHUATIRI LEMAS DITEMUI SELAMAT

24 MIGRAN YANG DIKHUATIRI LEMAS DITEMUI SELAMAT

oleh Ammar Haziq
24 pendatang Rohingya yang berjaya ditemui selamat.

FOTO/TEKS APMM KEDAH PERLIS

LANGKAWI – Kejadian 24 orang migran dipercayai etnik Rohingya yang dikhuatiri lemas selepas mereka didakwa terjun ke laut dari sebuah bot untuk berenang ke pantai Langkawi pada Sabtu lalu ditemui selamat oleh pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) Maritim Malaysia di Pulau Rebak Besar pada jam lebih kurang 6.15 petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, berikutan aduan yang diterima daripada seorang nelayan tempatan yang telah menjumpai seorang lelaki dipercayai etnik Rohingya di Pulau Rebak Besar, sebuah aset bot KILAT Maritim Malaysia telah diaturgerak ke lokasi dan telah menemui seorang lelaki yang dilaporkan dan dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Hasil siasatan lanjut ke atas migran tersebut dimaklumkan terdapat 26 lagi migran masih bersembunyi di Pulau tersebut.

Ekoran maklumat yg diperolehi, bot KILAT dan Kapal KM GAGAH diarah ke lokasi yang sama yang turut disertai aset daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan hasil pencarian anggota penyelamat telah menemukan 26 orang lagi migran.

Kesemua migran telah dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut untuk siasatan lanjut dan saringan awal COVID-19 sebelum diserah kepada pihak Imigresen.

Berikutan penemuan kesemua 27 migran tersebut, Operasi SAR telah ditamatkan malam tadi.

“Hasil siasatan mendapati kemasukan migran ini ada kaitan dengan bot nelayan tempatan yang bertindak sebagai ‘transporter’ dan juga tekong darat di kalangan warga tempatan yang bersubahat bagi menyeludup migran masuk ke Langkawi.

Pihak kami amat kesal dengan segelintir masyarakat tempatan yang sanggup berbuat demikian demi habuan wang ringgit tanpa menghiraukan soal keselamatan dan kedaulatan tanah air.

Siasatan kami juga mengesan bahawa modus operandi sindiket ini menggunakan taktik menyeludup migran yang dipindahkan dari bot induk yang berada berhampiran sempadan perairan negara ke bot-bot nelayan tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa tempatan”, tambah Zawawi.

Pihak ‘National Task Force’ dan APMM selaku salah satu agensi di bawahnya amat memandang serius perkara ini dan akan terus menggiatkan usaha untuk meningkatkan kawalan dan pemantauan khasnya ke atas semua jenis bot di perairan ini.

Kami berharap seluruh komuniti maritim berganding bahu dalam memerangi sindiket penyeludupan migran. Sebarang aduan mengenai aktiviti jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-9662750 / 04-966 5307.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com