Saturday, 20, April, 2024
Utama Umum [Kemaskini] Timbalan Menteri mohon maaf isu belajar atas pokok untuk naikkan ‘viewer’ Youtube

[Kemaskini] Timbalan Menteri mohon maaf isu belajar atas pokok untuk naikkan ‘viewer’ Youtube

oleh Ammar Haziq
Jumlah subcribe youtube milik Veveonah telah melebihi 100,000.

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin memohon maaf kepada adik Veveonah Mosibin kerana mendakwa memperolehi maklumat tidak tepat dalam menjawab isu tersebut di Dewan Negara hari ini.

Menurutnya, beliau mahu membetulkan kenyataan bahawa pelajar universiti ini tidak menjalani peperiksaan ketika video beliau belajar di atas pokok menjadi tular.

“Saya telah mendapat maklumat yang tidak tepat dalam menjawab soalan tambahan di Dewan Negara,”katanya melalui Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Zahidi berkata, rakaman video seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin didakwa terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan capaian internet bagi membolehkannya menduduki peperiksaan secara dalam talian di Pitas, Sabah sebenarnya sekadar dilakukan hanya bertujuan hiburan dan menaikkan ‘viewer’ rancangan YouTubenya.

Seperti yang dilaporkan Sinar Harian, beliau menjelaskan hasil siasatan kementeriannya mendapati Veveonah yang juga merupakan seorang Youtuber, sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika video tular itu dirakam.

“Untuk pengetahuan Yang Berhormat, adik (Veveonah) yang tadi tersebut seorang Youtuber dan tidak ada peperiksaan. Kita dah semak dah. Dia hanya Youtuber untuk ambil nama, dia terkenal sekejap dan dia buat hanya untuk hiburan.

“Ini perbuatan yang kadang-kadang kita tertipu dan kadang-kadang kita sebagai Yang Berhormat jangan mudah tertipu dengan Youtuber untuk membuat isu,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Peter Mojuntin yang bertanyakan tindakan kerajaan bagi memastikan keseimbangan capaian internet antara bandar dan luar bandar serta mengaitkan isu video tular Veveonah dengan perkara itu.


Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com