Friday, 29, March, 2024
Utama Sukan Kedah daki tangga kedua Liga Super

Kedah daki tangga kedua Liga Super

oleh Ammar Haziq

JENGKA – Kejayaan Kedah menumpaskan Felda United 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak malam tadi menyaksikan pasukan itu mendaki ke tangga kedua Liga Super 2020 dengan mengumpul 13 mata selepas tujuh perlawanan.

Bagaimanapun, JDT terus gah di persada liga dengan 19 mata selepas menang tipis ke atas Terengganu FC 0-1 di Kuala Terengganu semalam.

Gol Lang Merah hadir menerusi Tchetche Kipre pada minit ke-48 dan Hadin Azman pada minit ke-66.

Terdahulu, The Fighters berada di hadapan pada minit ke-45 hasil jaringan Syahmi Zamri.

Hadin yang menjaringkan gol kemenangan pasukannya selepas perlawanan berkata, beliau gembira kerana berjaya menjaringkan gol di Stadium Tun Abdul Razak terutamanya di dalam memberikan tiga mata berharga kepada Lang Merah bagi mengekalkan empat kemenangan berturut-turut.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak pula berkata, Felda United berjaya memberikan tentangan sengit kepada anak-anak buahnya sebelum pasukannya keluar sebagai pemenang.

“Tiga mata sangat penting untuk dikutip di laman lawan. Bukan mudah beraksi di padang rumput tiruan namun pemain Kedah berjaya mengatasi kesukaran tersebut,”katanya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com