Thursday, 25, April, 2024
Utama Negeri Pakej ‘kita prihatin’ RM10 bilion bukti keprihatinan Kerajaan PN

Pakej ‘kita prihatin’ RM10 bilion bukti keprihatinan Kerajaan PN

oleh Ammar Haziq

Kerajaan Negeri Kedah menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan melaksanakan pakej bantuan ‘Kita Prihatin’ dengan peruntukan RM10 bilion yang diumumkan YAB Perdana Menteri dalam perutusan khas, petang tadi.

Peruntukan Geran Khas Prihatin sebanyak RM600 juta, Subsidi Upah 2.0 berjumlah RM2.4 bilion dan Bantuan Prihatin Nasional 2.0 bernilai RM7 bilion adalah bukti keprihatinan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap kesukaran hidup rakyat terutama di peringkat bawah dalam menghadapi situasi sukar akibat pandemik COVID-19.

Di peringkat negeri, pesanan YAB Perdana Menteri untuk pemimpin kerajaan lebih kerap turun mendengar sendiri masalah rakyat, akan jadi peringatan bagi diri saya, Ahli-ahli EXCO, juga pegawai-pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Kita juga akan memberi sepenuh perhatian terhadap pesanan untuk kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dipertingkatkan bagi memastikan negara dapat segera keluar dari zon yang mencabar ini.

Selain itu, Kerajaan Negeri Kedah juga mengucapkan setinggi-tinggi syabas kepada kerajaan pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bukan sahaja sebagai antara negara terbaik dalam kejayaan mengekang penularan wabak COVID-19 malah telah menunjukkan trend pemulihan ekonomi yang amat meyakinkan.

Kadar pemulihan daripada penguncupan sebanyak 25.4 peratus dalam tempoh tiga bulan antara April hingga Jun lalu, adalah suatu tanda kesungguhan dan permuafakatan kerajaan dan rakyat dalam menghadapi cabaran ini.

Mudah-mudahan matlamat untuk ekonomi negara kita berkembang pada tahap 5 hingga 8 peratus pada tahun hadapan dapat dicapai.

Untuk itu, kerajaan yang ada pada hari ini perlu dikekalkan.

Track record jelas membuktikan keupayaan kerajaan pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin menangani krisis kesihatan dan ekonomi dengan cekap lagi efisien.

Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan atas perhatian dan kerjasama yang baik diberikan kepada kami di Kedah dalam menjayakan projek-projek berimpak tinggi selain isu-isu keperluan asas seperti bekalan air dan infrastruktur luar bandar.

Adalah menjadi harapan saya dan Kerajaan Negeri supaya pakej rangsangan yang diumumkan ini, dapat dimanfaatkan oleh rakyat Kedah yang sebilangannya masih terjejas teruk oleh COVID-19 untuk berbelanja dengan sebaik mungkin mengikut keutamaan.

Dalam masa yang sama, kita juga perlu bersiap sedia untuk kembali kepada komitmen kewangan sebagaimana biasa.

Selain itu, ingin saya menasihatkan kepada semua pihak supaya komited dalam mengamalkan norma baharu, patuh SOP, mudah-mudahan pandemik COVID-19 yang telah membelenggu kita sejak awal tahun, dapat dinyahkan sepenuhnya secepat mungkin.

Sekian. Wassalam.

‘KEDAH SEJAHTERA-NIKMAT UNTUK SEMUA’

HAJI MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Menteri Besar Kedah Darul Aman
5 petang
23 September 2020

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com