Thursday, 18, April, 2024
Utama Negeri UUM lanjut penutupan kampus induk sehingga 15 Oktober

UUM lanjut penutupan kampus induk sehingga 15 Oktober

oleh Ammar Haziq

Setelah mengambil kira keselamatan dan kebajikan staf dan pelajar serta masyarakat sekitar, Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah memutuskan agar penutupan kampus induk UUM dan pelaksanaan tugasan secara bekerja dari rumah (work from home) bermula 5 Oktober sehingga 8 Oktober 2020 dan arahan tersebut dilanjutkan lagi sehingga 15 Oktober 2020.


Penutupan kampus ini adalah bagi mengekang penularan virus Covid-19 di dalam kampus dan aktiviti disinfeksi secara menyeluruh dapat terus dilaksanakan di seluruh kampus khususnya di kawasan terlibat.


Arahan ini melibatkan semua staf kecuali staf yang terlibat dalam perkhidmatan perlu (essential services) dan harus mendapat kebenaran Pendaftar, manakala pelajar yang berada di dalam kampus tidak dibenarkan keluar melainkan dengan kebenaran Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).


Sebagai makluman, kawasan yang terjejas adalah salah sebuah Inapan Siswa (INASIS) yang menempatkan pelajar dari Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).


INASIS tersebut telah ditutup serta-merta dan dikawal 24 jam apabila isu ini timbul dan semua penghuni terasing daripada orang ramai. Kini semua penghuni di INASIS berkenaan telah disaring dan dipindahkan untuk dikuarantin di luar kampus utama.


Manakala pelajar yang positif telah dihantar ke hospital kelolaan KKM untuk proses rawatan. Setakat ini, belum ada staf UUM yang dikesan positif terhadap ujian pengesanan virus Covid-19.


Selain itu, sepanjang tempoh penutupan UUM, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) akan diteruskan seperti biasa secara dalam talian (online) yang akan bermula 11 Oktober ini dan segala aktiviti atau mesyuarat secara bersemuka perlu ditangguhkan serta dijalankan secara atas talian sehingga keadaan kembali terkawal.


Sejak arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kesihatan semua staf dan pelajar dipantau menerusi aplikasi COVID-19 Daily Self Assessment (CODSA). Sekiranya terdapat di antara mereka dikesan berisiko akan diarahkan untuk membuat pemeriksaan di PKU UUM atau fasiliti kesihatan berhampiran.


UUM sentiasa memastikan semua warga kampus serta orang awam yang berurusan di dalam kampus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti memakai pelitup muka, menjaga penjarakan fizikal dan kerap membasuh tangan.


Warga kampus dan masyarakat sekitar tidak perlu bimbang kerana pelbagai agensi termasuk UUM telah mengambil semua langkah terbaik untuk memutuskan jaringan wabak Covid-19.

PROF. DATO’ DR. AHMAD BASHAWIR ABDUL GHANI
Naib Canselor
Universiti Utara Malaysia
10 Oktober 2020

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com