Friday, 19, April, 2024
Utama Viral Daripada pengutip sampah kepada jutawan hartanah

Daripada pengutip sampah kepada jutawan hartanah

oleh Ammar Haziq

“Ketika kau berada di bawah,bawalah dirimu terbang tinggi! Tetapi saat dirimu sudah berada di atas,maka campaklah hatimu serendahnya di bumi!”
Muhammad Azlan Al Amin.

AKU KONGSIKAN SECEBIS KISAH HIDUPKU UNTUK PERKONGSIAN KITA!

DI LANTAI KEMISKINAN.
Aku dulu hidup miskin,hina terpulau lagi terasing.Adik beradik ramai asalnya 21 orang seibu seayah,meninggal waktu kecil 5 orang dan kini tinggal 16 orang dengan aku anak yang ke-10.

Ayah hanya kerja kampung manakala ibu pula suri rumah.Makan nasi berlauk budu serta ikan kering adalah biasa,selalu tidur bergelap bila bil elektrik dipotong,dan pergi sekolah jalan kaki menjadi lumrah.

PELAJAR MISKIN.
Aku bersekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan Tok Raja,Jertih.Di sekolah yuran selalu tak dapat bayar,bila malu cikgu kerap minta dan kawan kawan perli,aku ponteng sekolah.Akhirnya,guru guru dan PIBG yang tolong bayarkan yuran yuran tertunggak.

Guru guru semuanya baik baik belaka.Nama nama seperti cikgu Wan Muffadilah,cikgu puan rabiah,guru disiplin cikgu wan zuhairi,cikgu Puan Roslina,Guru Besar cikgu Raja Husin bin Raja Putih,cikgu Wan Mohd Sulung,Cikgu Tn Rosli dan ramai lagi adalah guru guru sekolah rendah yang tak akan aku lupakan jasanya.

Aku bukan pelajar pintar di sekolah,bahkan pelajar kelas pemulihan.Dalam kelas ketika exam,aku selalu dapat no terakhir.Tapi syukur,walaupun pelajar lemah,namun aku bukan pelajar nakal.

SEBUNGKUS NASI DIKONGSI TIGA BERADIK
Di sekolah,kalau berpeluang beli nasi sebungkus,kami kena kongsi 3 beradik,aku,kakak dan adik.Minum pula,air paip.Air di kantin kadang tak termampu dibeli.Lihat kawan kawan anak orang kaya makan sedap sedap,aku hanya menyepi di sudut kelas menahan lapar.Kerap cikgu tanya kenapa tak ke kantin,aku jawab dah kenyang cikgu,padahal aku tak ada duit belanja.

Sedih,dari darjah satu sampai darjah enam,aku kerap menjadi mangsa buli rakan rakan yang hidupnya lebih berada.Apa daya,aku seperti semut kecil yang tak berharga.

Aku perlu lebih cepat dewasa sebelum usia,kehidupan menjadikan aku tua sewaktu masih muda.Maka bekerjalah aku sebagai pengutip sampah demi nafkah membantu keluarga selepas SPM.

LAUK AYAM BUANGAN.
Hari hari aku bergelumang dengan najis dari lampin pakai buang serta kotoran buangan sampah di Kem TUDM GONG KEDAK,iaitu tempat aku bekerja mencari rezki yang halal.

Pernah sekali ibu meminta duit dariku untuk membeli lauk,waktu itu aku sedang bekerja di Kem tersebut untuk mengangkut sampah yang dikumpulkan sebelum dibuang ke dalam lori, dan aku hanya mampu diam kesedihan tak punya wang.Mahu meminjam,malu sebab baru bekerja.

Tiba tiba aku melihat ada beberapa ekor ikan dan ayam yang dilonggokkan berhampiran tong sampah sebelum dibuang ke dalam lori.Aku memeriksanya,masih elok,cuma mungkin pada standard SOP kantin tentera,ia tidak lagi sesuai.Tanpa berlengah,aku ambil mana yang masih elok lalu kemudiannya dibawa balik ke sebagai lauk kami sekeluarga.Ibu tersenyum,tanpa dia tahu itu adalah ayam buangan yang aku pungut pulang ke rumah.

Bila busuk,jangan kata manusia,kucing pun tak mahu dekat.Yang sentiasa hampir di hati dan di sisi,adalah ibuku.Sekali,ibuku menangis ketika melihat ulat ulat sampah keluar dari poket baju uniform kerjaku.Tangisan dan airmata seorang ibulah yang menjdi saksi keramat untuk kutanam keazaman memburu kejayaan bagi memberikan beliau kejayaan dunia,seterusnya bergelar anak soleh.

Kawan kawan tiada,entah kemana.Yang ada pun bukan memberi semangat untuk aku bangkit,malah merendahkan aku seperti aku tidak layak untuk berjaya.Begitulah hidup ini,apabila kemiskinan berdiri di depan pintu,maka cinta pun keluar melalui jendela.

HIDUP PERLU DITERUSKAN.
Selalu aku naik motor roda tiga keliling kampung jual dan jaja jagung sorang diri tidak berteman.Orang semua pandang rendah cakap tak ada masa depan,kecuali ibu yang terus menerus membekali aku azimat ampuh berupa doa.Maka berkelanalah aku penuh tabah walau kadang diri hampir rebah.

Berkat doa serta semangat yang kuat,semua tu aku tempuh dengan gigih dan sabar.Ya,tanpa sabar tidak beerti lah hidup walau kau kuat.Sabar itu perisai dan kuat itu umpama pedang. Berpuluh tahun hidup bergelumang susah payah,segala macam kesukaran aku tetap redah! Tiada sekelumit harta,melainkan perjalanan hidup penuh derita!

Tapi aku perasan ada sesuatu aset yang sangat bernilai dalam diriku ini,iaitu YAKIN DIRI DAN BERANI! Berani bukan bermaksud tiada langsung ketakutan dalam diri,tetapi tentang bagaimana aku berjaya menghalau ketakutan itu pergi demi kemahuan hidup yang tinggi!

TITIK PERUBAHAN.
Pada tahun 2010 aku keluar meninggalkan rumah berbekal duit rm1.30 dari pemberian ibu.Waktu itulah aku berjanji seutuhnya dengan ibu dan diri sendiri,takkan pulang selagi belum berjaya.

Hari hari yang sukar pun bermula.Tidur di wakaf,makan sepotong roti dan minum hanya air kosong seharian suntuk,tiada yang peduli.Pada hemah semua,Muhammad Azlan Al Amin telah “mati” dari tengah tengah masyarakat serta keluarga.Airmata adalah sahabat,tapi doa setia menjadi teman.Itulah harga sebuah perjalanan hidup untuk aku bermula.

Dari situ aku mula belajar erti hidup sepenuhnya.Aku lupakan segala dendam dan kemarahan pada semua,lalu aku tukarkan dengan bunga bunga cita.Aku percaya,kebencian hanya lebih membakar diri sendiri berbanding orang lain.

Lalu aku memilih untuk membina kembali hidup ini dengan fikiran yang penuh positif.

POSITIF ADALAH AWAL KEJAYAAN.
Benci aku tukar jadi cinta,marah aku ganti dengan mesra,dan keras aku alihkan kepada lunak.Keluar dari rumah aku takrifkan kepada “hijrah” ,airmata kesedihan ibu aku angap “azimat” ,dan hinaan serta cercaan orang ramai aku jadikan “semangat” untuk berjuang membuktikan aku juga boleh berjaya walau dari mana aku bermula! Rupa rupanya,berfikir POSITIF adalah permulaan kepada sebuah kejayaan!

Bermula dari situ,aku bina kehidupan dan masa depan.Doa dan usaha adalah seiring.Aku mula menanam diri dengan harapan,dan akhirnya aku perlahan lahan menuai kejayaan.Kejayaan yang membuatkan aku makin rendah hati,ingin belajar tawadhuk,serta zuhud. Ya,mencintai akhirat itu tidak beerti membenci atau memingirkan dunia.Cuma,dunia hanya di tangan,manakala akhirat di hati.

DULU DAN KINI.
Kini tahun 2020,dua puluh tahun telah berlalu zaman kanak kanak dan remaja yang sukar penuh dhaif,manakala sepuluh tahun aku meniti susah payah dunia perniagaan sejak 2010. Ujian tetap apa dan perjuangan belum berakhir.Cuma,hidup telah perlahan lahan berubah ke arah yang lebih cemerlang berbanding dulu dan wajib disyukuri.

Kini,dengan izin Allah swt dan berkat doa ibu bapa, keluarga serta kawan kawan,aku mula mendaki ke puncak.Mendaki gunung yang lebih tinggi dengan penuh hati hati di bawah bimbingan para murabbi,mengajarkan aku agar hidup lebih berstrategi namun kekal berhati SUFI.

KITA INSAN LEMAH YANG PERLU TERUS BERUBAH MENJADI LEBIH BAIK.

Ya,perlu hati hati.Ramai pemburu yang penuh murni saat mendaki,namun hilang arah bila tiba ke puncak. Di sinilah doa ibu ayah,keluarga,anak isteri serta para murabbi diperlukan sentiasa.

Ya,aku juga insan lemah lalai dan kadang leka penuh dosa.Pada Tuhan kita pohonkan keampunan,dan pada manusia kita pintakan kemaafan.

Kita sentiasa berpeluang untuk membina kehidupan yang lebih baik jika kita mahu,kerana kesilapan bukan alasan untuk kita tidak mencari kebenaran.Bahkan,airmata penyesalan yang membawa kita ke pintu taubat ternyata lebih bernilai dari berbangga dengan kebaikan yang membuat kita merasa hebat!

PESAN.
Kepada semua,aku titipkan pesanan ini buat diriku sendiri dan kita,agar jangan sekali kali berputus asa dalam hidup! Hidup adalah perjuangan,mengalah tidak membawamu kepada kemenangan!

Ayuh! Bangkitlah untuk hidup yang berjaya di dunia serta akhirat! Ingat,yang tidak berubah ialah HATI,tapi yang sentiasa perlu berubah ubah ialah STRATEGI!

Alhamdulillah.
Segalanya milik Allah dan kepunyaan Allah jua.

Muhammad Azlan Al Amin.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com