Thursday, 25, April, 2024
Utama Viral Padah cabul remaja, penjual aiskrim Pakistan dipukul warga tempatan

Padah cabul remaja, penjual aiskrim Pakistan dipukul warga tempatan

oleh Ammar Haziq
Suspek telah ditahan polis . FOTO media sosial.

KEPALA BATAS – Seorang penjual aiskrim warga Pakistan ditahan polis selepas dipercayai mencabul seorang remaja perempuan semasa menjual aiskrim di Taman Seri Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang semasa mangsa berusia 14 tahun bersama adik perempuannya, 6 tahun mahu membeli aiskrim dijual suspek di hadapan rumah mereka.

Semasa mangsa sedang melihat aiskrim di dalam tong aiskrim di atas motosikal suspek, suspek telah memegang bahu mangsa dan menyebabkan mangsa terkejut dan mengundur ke belakang.

Suspek kemudiannya memberi aiskrim seperti yang diingini adik mangsa dan ketika mangsa ingin membayar, suspek bertindak memegang tangan mangsa lalu cuba menciumnya.

Mangsa yang ketakutan terus berlari masuk ke kawasan rumahnya dan menutup pintu pagar namun suspek masih berada di hadapan rumah mangsa dengan menunjukkan wang sambil memanggil mangsa supaya datang semula ke arahnya.

Bimbang dengan perkara itu, mangsa terus menghubungi ibunya yang ketika itu tiada di rumah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berusia 25 tahun kemudian ditahan orang awam sehari dia melakukan perbuatan itu pada 15 Oktober lalu.

“Kejadian tersebut disaksikan jiran mangsa menyebabkan suspek ditahan sehari selepas kejadian pada jam 4.30 petang. Ketika polis tiba di lokasi kejadian, mangsa mengalami luka di bahagian mulut dipercayai dipukul,” katanya.

Noorzainy berkata, mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan namun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil semakan, suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah. Difahamkan, suspek turut akan membuat laporan polis kerana dipukul oleh orang awam.

“Suspek akan membuat laporan pada petang ini selepas menerima rawatan di hospital. Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 dan Akta Imigresen 1959” katanya.

Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 2 minit 33 saat di media sosial berhubung seorang lelaki warga asing dipercayai dipukul oleh seorang lelaki warga tempatan susulan tindakannya mencabul seorang remaja perempuan.

SUMBER SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com