Tuesday, 23, April, 2024
Utama Negeri Penyeludup lari tinggalkan 1.21 tan daun ketum

Penyeludup lari tinggalkan 1.21 tan daun ketum

oleh Ammar Haziq

TEKS/FOTO APMM

ALOR SETAR- Cubaan seludup keluar 1.21 tan daun ketum oleh sekumpulan penyeludup gagal apabila aktiviti mereka berjaya dihidu dan dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah di sekitar perairan Kuala Sanglang lewat malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal bin Ahmad berkata, daun ketum yang diisi dalam 121 beg plastik tersebut ditemukan di satu lokasi berhampiran muara Kuala Sanglang.

“Hasil maklumat risikan, kita berjaya mengesan aktiviti cubaan membawa keluar daun ketum tersebut dengan menggunakan jalan laut,” ujarnya.

Berikutan itu, sebuah bot peronda Maritim Malaysia telah diaturgerak menerusi Ops Khas ke lokasi tersebut.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa penyeludup bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kesemua bungkusan tersebut,” jelas beliau lagi.

Faizal berkata, pemeriksaan lanjut menemui bungkusan hitam yang disyaki daun ketum seberat 1.21 tan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran iaitu Thailand.

“Harga pasaran daun ketum di sana (Thailand) yang jauh lebih tinggi sehingga boleh mencecah RM80.00 bagi satu berbanding pasaran tempatan iaitu sekitar rm40.00 satu kilogram. Harga pasaran yang tinggi merancakkan lagi aktiviti penyeludupan keluar daun ketum ke Thailand,” jelasnya.

Menurut Faizal juga, jumlah ketum yang dirampas kali ini, sekiranya dijual di Thailand mencecah RM96,800.

Semua hasil rampasan dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Tambahannya, Pihak Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan dan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com