Friday, 29, March, 2024
Utama Nasional Kempen transaksi tanpa tunai JPJ elakkan sentuhan

Kempen transaksi tanpa tunai JPJ elakkan sentuhan

oleh Ammar Haziq

GEORGETOWN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melancarkan kempen transaksi tanpa tunai yang akan menjadi pemangkin kepada sebuah perkhidmatan yang lebih cekap dan berintegriti.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ, Aminurrahim Mohamed berkata kempen yang telah pun dilancarkan pada 1 Disember 2020 yang lalu, dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) wilayah utara akan dilakukan secara perintis di cawangan dan ibu pejabat bahagian utara semenanjung dan seterusnya di seluruh negara.

“Seperti kita sedia maklum cawangan JPJ Pulau Pinang di Pusat Transformasi Bandar (UTC) telahpun melaksanakan transaksi tanpa tunai selepas mendapat kebenaran dari Kementerian Kewangan.

“Walaubagaimanapun, tujuan kita sebolehnya dapat melaksanakan sistem transaksi tanpa tunai seberapa segera di seluruh cawangan JPJ di UTC di seluruh negara bermula pada tahun hadapan,” kata beliau.

Beliau berkata untuk rekod JPJ Batu Uban di Pulau Pinang dan JPJ Perlis adalah dua perintis di dalam kempen transaksi tanpa tunai tersebut.

Beliau berkata sebanyak 99% pelanggan di JPJ Batu Uban Pulau Pinang telah pun membayar secara tanpa tunai manakala di JPJ Perlis pula lebih 91% pelanggan mengunakan perkhidmatan tersebut.

Antara kelebihan dan “advantage” menggunakan perkhidmatan transaksi tanpa tunai ialah selain daripada dapat meningkatkan kecekapan dan integriti dalam perkhidmatan awam ia juga selaras dengan kehidupan dan norma baharu pasca Covid-19.

Penggunaan sistem ini dapat mengurangkan sentuhan yang wujud dalam transaksi tunai dan sekaligus meminimakan kemungkinan untuk dijangkiti.

Ia juga dilihat mempunyai banyak kelebihan lain seperti memudahkan pelanggan untuk menjejaki rekod kewangan mereka secara sistematik.

Kaedah penggunaan wang kertas seperti pemulangan baki, wang palsu, keciciran , kecurian juga dapat dielakkan.

Sehubungan itu JPJ juga yakin dan percaya pelanggan yang berurusan dengan JPJ mempunyai sebab yang positif untuk turut serta dan menggunakan perkhidmatan tersebut.

Pengarah MPC Wilayah Utara Dr Mazrina Mohd Ibramsah berkata sebagai sebuah jabatan yang memacu produktiviti negara, adalah menjadi tanggungjawab MPC untuk menyokong transformasi agensi kerajaan dan negeri-negeri di seluruh Malaysia.

Tambah beliau program transaksi tanpa tunai ini adalah selaras dengan program Behavioral Insight di bawah inisiatif Penang Produktif,Perlis Produktif dan Kedah Produktif .

Antara perkhidmatan transaksi tanpa tunai di JPJ yang boleh digunakan oleh pelanggan ialah semua perkhidmatan JPJ termasuk pembaharuan lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM).

Pelanggan hanya perlu membawa kad debit ATM atau kad kredit di mana-mana cawangan ataupun ibu pejabat JPJ.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com