Friday, 19, April, 2024
Utama Negeri Mayat wanita hamil ditemui terapung di Langkawi

Mayat wanita hamil ditemui terapung di Langkawi

oleh Ammar Haziq

FOTO/TEKS APMM

LANGKAWI, 10 Disember – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menerusi aduan orang awam menemukan mayat seorang wanita sarat mengandung terapung bersama bot tanpa nombor pendaftaran karam di posisi lebih kurang 0.1 batu nautika utara muara Kubang Badak, Langkawi.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam menerusi Maritime Rescue Sub-center (MRSC) Langkawi dan telah mengarahkan Bot Petir 81 dari Ibu Pejabat Maritim Kedah dan Perlis ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan pada jam 9.00 pagi, tadi.

“Pemerhatian awal mendapati mayat wanita yang sarat mengandung ditemui terapung serta terbelit pada tali sauh bot dan menyukarkan usaha membawa mayat ke atas bot Maritim Malaysia,” jelasnya.

“Mayat yang berjaya diangkat seterusnya, dibawa ke jeti APMM Bukit Malut pada sekitar jam 11.40 pagi,” jelasnya lagi.

Zawawi memaklumkan, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan mayat telah diperiksa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Langkawi sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Sehingga kini MRSC Langkawi belum menerima sebarang aduan daripada orang awam berkaitan kehilangan ahli keluarga.

Sehubungan itu, orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga diminta untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Langkawi di talian 04-9662750.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com