Friday, 19, April, 2024
Utama Nasional Tewas undi belanjawan, PH perlu henti kejar bayang-bayang

Tewas undi belanjawan, PH perlu henti kejar bayang-bayang

oleh Ammar Haziq

Kenyataan Akhbar Bersama Mohamad bin Sabu, Presiden Amanah Merangkap Ahli Parlimen Kota Raja Dan Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP Merangkap Ahli Parlimen Bagan Di Kuala Lumpur Pada 17.12.2020.

Anjakan Politik Baharu Untuk PH Plus

Selasa adalah hari yang mengecewakan bagi pemimpin dan penyokong PH, yang berharap Belanjawan 2021 dapat dikalahkan pada bacaan ketiga di Parlimen dan membolehkan Pakatan Harapan (PH) menuntut kembali mandat rakyat yang dimenangi pada pilihan raya 2018. Terdapat keperluan untuk anjakan baharu halatuju semasa PH berikutan lulusnya Belanjawan 2021 oleh Kerajaan Malaysia pertama yang tidak dipilih rakyat dan merupakan kerajaan minoriti dalam undian sengit 111-108.

Terdapat banyak sebab untuk membantah Belanjawan 2021. Belanjawan pertama PN adalah tidak inklusif dengan banyak sektor terabai terutamanya dalam sektor pendidikan, bantuan kebajikan khasnya kepada penganggur, vaksin dan pencegahan COVID-19, bantuan untuk Perindustrian Kecil Sederhana (PKS) dan meminggirkan masyarakat bukan Melayu. Kegagalan kerajaan mengurus gelombang ketiga jangkitan COVID-19 telah menyaksikan jumlah jangkitan tertinggi dan diburukkan lagi dengan pengurangan Dana COVID-19 daripada RM38 bilion pada tahun 2020 kepada RM17 bilion untuk tahun 2021.

Seterusnya, penyalahgunaan dana kerajaan untuk tujuan politik seperti JASA, pelantikan ahli politik untuk menggantikan golongan profesional dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), kegagalan meningkatkan bayaran kebajikan masyarakat kepada RM1,000 setiap bulan termasuk untuk penganggur, kegagalan menangani krisis pendidikan di mana pelajar hanya bersekolah selama 4 bulan tahun ini dan pemotongan drastik dana kepada sekolah agama, sekolah Cina dan Tamil.

Belanjawan ini juga tidak realistik dengan unjuran pertumbuhan dan kutipan hasil yang terlalu optimis. Dalam banyak aspek, ini adalah Belanjawan biasa dalam keadaan yang luar biasa. Kelemahan Belanjawan 2021 ketara terbukti dengan penurunan penarafan kredit negara oleh Fitch Ratings, penurunan pertama di kalangan negara utama ASEAN.

Walaupun terdapat kegagalan yang nyata, kelulusan Belanjawan 2021 dilihat sebagai tanda undi percaya kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin. PH telah menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dan bahawa beliau boleh mendapatkan sokongan daripada Ahli Parlimen Kerajaan dengan syarat mereka bukan Ahli Parlimen kleptokrat, terutamanya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Undian semalam jelas menunjukkan bahawa 108 Ahli Parlimen yang menentang Perikatan Nasional adalah jumlah yang sama yang kekal teguh bersama PH pada bulan Mac 2020. Tidak ada satu pun Ahli Parlimen Kerajaan yang mengundi bersama PH, termasuk mereka yang kononnya menyokong Datuk Seri Anwar. Jelas Ahli Parlimen Kerajaan ini sangat pandai dengan permainan politik untuk mengaut kelebihan dan meraih keuntungan daripada kerajaan PN.

PH harus berdepan dengan realiti ini, perlunya suatu anjakan politik semula bagi tumpuan kepada menyatukan rakan-rakan kita di kalangan ahli parlimen pembangkang yang berdiri bersama kita pada hari Selasa. PH seharusnya tidak membuang masa dengan ahli parlimen kerajaan oportunis, dan hanya memperalatkan PH demi kepentingan peribadi mereka sendiri agar memperolehi tawaran yang lebih lumayan daripada kerajaan PN.

Sebaliknya, masa dan sumber harus digunakan untuk rakan dan sekutu kita yang dapat menemui perjuangan bersama bagi rakyat berdasarkan prinsip-prinsip nilai demokrasi yang utuh, tadbir urus yang baik, anti-rasuah dan kemajuan ekonomi dan keadilan sosial. Dengan kata lain, daripada 92 Ahli Parlimen bersekutu PH, PH harus memperluas lingkungan untuk menumpukan perhatian kepada 108 anggota Parlimen pembangkang, yakni PH Plus. Undian Belanjawan pada hari Selasa telah mengajar kita untuk tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang lebih daripada 111 MP dengan berdasarkan hanya 92 Ahli Parlimen PH. Andai kata berdasarkan 108 Ahli Parlimen PH Plus betapa kuat laginya!

Sekarang mesti ada anjakan politik baharu untuk fokus kepada membangunkan pakatan pembangkang yang lebih bersatu yang dapat bertanding sebagai satu pasukan dalam pilihan raya akan datang. Pemimpin PH mesti mengetepikan bebanan lampau supaya PH dapat berkembang menjadi PH Plus dengan kekuatan hebat 108 Ahli Parlimen. Dengan 108 Ahli Parlimen PH Plus sebagai pakatan yang mantap, apa-apa sahaja kemungkinan boleh berlaku kelak.

MOHAMAD BIN SABU
LIM GUAN ENG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com