Wednesday, 24, April, 2024
Utama Negeri Econsave ringankan beban keluarga tular pakai pelitup muka sama lapan bulan

Econsave ringankan beban keluarga tular pakai pelitup muka sama lapan bulan

oleh Ammar Haziq
Zamzuri (dua kiri) menyerahkan sumbangan Econsave bernilai RM1,000 kepada keluarga Jaafar pada Rabu lalu.

ALOR SETAR – Keluarga yang tinggal di Lorong Masjid Batu 3, Tandop, Alor Setar dan tular kerana memakai pelitup muka yang sama sejak lapan bulan lalu mendapat perhatian khalayak ramai termasuk pengurusan pasaraya Econsave.

Pengurus Besar Pasaraya Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor tampil menyampaikan bantuan berupa sumbangan keperluan dapur, keperluan rumah dan keperluan persiapan sekolah buat anak tunggal keluarga tersebut, Muhammad Iman Nabihan, 10.

Menurutnya, pihaknya berharap sumbangan tersebut mampu menceriakan keluarga tersebut termasuk memberikan motivasi kepada Jaafar Sirat, 59 dan Sarina Hashim, 35 yang berdepan kesukaran hidup sebelum ini.

“Sumbangan ini adalah di bawah Program Econsave Prihatin 2020 yang bernilai RM1,000. Antara sumbangan yang diberikan adalah keperluan barangan rumah, pelitup muka dan keperluan sekolah anak tunggal Jaafar dan Sarina.

“Kami harap Jaafar akan lebih bersemangat kerana masih ada masyarakat di luar yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya sekeluarga,” katanya ketika mengunjungi keluarga tersebut pada Rabu lalu.

kisah keluarga Jaafar yang tular di media sosial baru-baru ini.

Sementara itu, Jaafar ketika ditemui berkata, mereka sekeluarga syukur kerana ramai pihak dan masyarakat tampil membantu dan sumbangan kewangan akan digunakan untuk menampung kos perubatan isterinya yang menghidap kencing manis kronik.

“Sepanjang tahun ini, tugas mengurus rumah, menghantar dan mengambil anak di sekolah serta memasak dilakukan oleh saya sepenuhnya kerana isteri tidak mampu lagi berdiri lama. Dia banyak berehat di katil sahaja,” tambahnya.

Bagi mereka yang mahu membantu keluarga ini, boleh menghubungi Jaafar menerusi nombor 01112426279 atau menyalurkan bantuan ke nombor akaun BSN (0210041000284684).



Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com