Friday, 29, March, 2024
Utama Nasional Anwar utus surat semua ahli parlimen rayu Agong batal darurat

Anwar utus surat semua ahli parlimen rayu Agong batal darurat

oleh Ammar Haziq

SHAH ALAM – Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar surat kepada semua ahli Parlimen untuk merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membatalkan pelaksanaan darurat di negara ini agar Parlimen boleh segera bersidang.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu bagaimanapun berkata, surat berkenaan perlu disesuaikan berdasarkan pertimbangan semua ahli Parlimen dan parti masing-masing.

“Semoga warkah ini mendapat ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pengisytiharan darurat, seterusnya menitahkan sidang Parlimen diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Januari ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Anwar Ibrahim. FOTO KeadilanDaily

Anwar berkata, Parlimen perlu bersidang segera untuk membahaskan isu darurat, Covid-19 dan kemelut ekonomi yang melanda negara.

Pada Selasa, Al-Sultan Abdullah memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos depan atau suatu tarikh yang lebih awal sekiranya angka harian kes baharu positif Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Perkenan tersebut diberikan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka Baginda dengan Raja-Raja Melayu pada Isnin.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com