Friday, 26, April, 2024
Utama Nasional Jangan cuba pinda Akta Tabung Haji 1995 – Pemuda UMNO

Jangan cuba pinda Akta Tabung Haji 1995 – Pemuda UMNO

oleh Ammar Haziq

CADANGAN PINDAAN AKTA TABUNG HAJI 1995: JANGAN SESEKALI CUBA DIPINDA HAK JAMINAN PENDEPOSIT!

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius kenyataan YB Senator Menteri Agama Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam Facebook beliau yang menyatakan bahawa satu usaha sedang dijalankan oleh pihaknya dan Kementerian Kewangan Malaysia untuk menyemak semula ketetapan JAMINAN KERAJAAN termasuklah kemungkinan pindaan ke atas Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

APA ITU JAMINAN KERAJAAN?

Di bawah Seksyen 24 Akta Tabung Haji 1995, setiap sen wang yang didepositkan oleh para pendeposit ke dalam Tabung Haji (TH) adalah dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan. Ini bermakna jika berlaku keadaan TH tidak mampu membayar balik tanggungan wang pendeposit akibat TH menjadi muflis atau kerugian, maka Kerajaan akan mengambil alih tanggungan tersebut dan membayar balik setiap sen wang pendeposit.

KENAPA HENDAK DIPINDA?

Keistimewaan TH yang mempunyai ciri-ciri jaminan menyeluruh kerajaan ini memberikan kelebihan kepada TH berbanding bank-bank komersil dan institusi kewangan yang lain. Ini kerana rakyat sudah tentu lebih memilih untuk menyimpan dalam TH sehingga dana TH mencecah RM75 bilion. Sedangkan jaminan simpanan di bank-bank komersil hanya setakat RM250,000 oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

Usaha untuk meminda Seksyen 24 Akta 535 ini pernah diusahakan oleh Bank Negara di bawah Gobenor Tan Sri Zeti Akhtar Aziz atas alasan meratakan padang persaingan (level playing field) dalam sistem kewangan negara, tetapi tidak dipersetujui oleh Perdana Menteri waktu itu Datuk Seri Najib Razak. Usaha untuk meminda Akta 535 tetap cuba diteruskan di zaman PH di bawah Gabenor baharu sehinggalah hari ini.

PENDIRIAN PEMUDA UMNO

Pemuda UMNO menentang keras sebarang usaha untuk menanggalkan keistimewaan yang ada pada institusi unik umat Islam ini dengan menyemak atau menghilangkan terus ciri-ciri JAMINAN MENYELURUH KERAJAAN ke atas wang pendeposit TH.

Sesungguhnya, TH adalah institusi yang cukup istimewa dan terlalu bernilai buat umat Islam yang menjadi asas kepada pembangunan ekonomi Ummah sejak ditubuhkan pada 1963.

Justeru, Pemuda UMNO menggesa YB Senator Menteri Agama tampil memberikan jaminan kepada lebih 9.4 juta pendeposit bahawa Kerajaan PN hari ini akan terus mempertahankan Jaminan Kerajaan terhadap setiap wang pendeposit yang menjadi keistimewaan TH!

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

15 Januari 2021 

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com