Friday, 19, April, 2024
Utama Negeri Tingkat keselamatan tembok konkrit, elak ramai lagi kemalangan

Tingkat keselamatan tembok konkrit, elak ramai lagi kemalangan

oleh Ammar Haziq
Adnan (dua kanan) selepas melawat mangsa kemalangan, Mohd Asri Ismail di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini tengah hari tadi.

SIARAN MEDIA CUEPACS

SUNGAI PETANI – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta pihak berkuasa melaksanakan langkah keselamatan yang sewajarnya sekiranya mahu memasang penghadang tembok konkrit untuk melakukan sekatan jalan raya sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, pelaksanaan langkah keselamatan seperti meletakkan tanda amaran, memasang lampu serta hebahan kepada penduduk tempatan itu mampu mengelakkan risiko kemalangan kepada penduduk tempatan selain memudahkan mereka mencari jalan alternatif lain.

“Pemasangan tembok penghadang konkrit ini adalah permintaan daripada pihak polis bagi memudahkan mereka melakukan penguatkuasaan sepanjang PKP. Bagaimanapun ia tidak sepatutnya menyusahkan rakyat terutama penduduk tempatan apatah lagi hingga mengakibatkan kemalangan dan kecederaan.

“Seperti yang berlaku pada Sabtu lalu di Jalan Bukit Selambau-Kuala Lesong yang mengakibatkan seorang petugas hospital cedera parah apabila motosikal ditungganginya merempuh tembok penghadang jalan raya kerana keadaan jalan yang gelap dan tiada tanda amaran awal.

“Perkara ini sudah tentu menimbulkan kemarahan kepada penduduk tempatan. Jika langkah keselamatan diambil dengan sewajarnya sudah tentu penduduk faham dan akur kerana ia demi keselamatan rakyat juga untuk mencegah penularan Covid-19,” katanya selepas melawat mangsa kemalangan, Mohd Asri Ismail di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, Mohd Asri, 43 yang juga kakitangan HSAH mengalami cedera parah selepas motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang dalam perjalan ke tempat kerja merempuh sebuah tembok penghadang jalan di Jalan Bukit Selambau-Kuala Ketil.

Dalam pada itu, Adnan berkata, beliau berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera menambah baik langkah keselamatan di kawasan yang diletakkan penghadang jalan raya konkrit bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa akan datang.

Tambah Adnan, penduduk tempatan juga boleh membuat aduan atau bantahan kepada pihak berkuasa sekiranya merasakan tindakan meletakkan penghadang jalan raya konkrit itu boleh menimbulkan masalah keselamatan serta menyukarkan aktiviti harian mereka.

“Dalam hal ini, pihak berkuasa perlu juga mendengar apa saja aduan yang disuarakan oleh penduduk supaya langkah penambahbaikan dapat dilakukan. Kadang-kadang ada aduan yang perlu diberi perhatian tetapi tidak diketahui kerana tiadanya aduan daripada penduduk.

“Perkara ini akan diambil tindakan apabila berlakunya kemalangan yang tidak diingini. Jadi, CUEPACS berharap masyarakat tempatan dan pihak berkuasa dapat terus bekerjasama demi memastikan apa saja langkah yang diambil memberi manfaat kepada semua pihak,” ujarnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com