Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri Di sebalik kontroversi, Azmeer tetap siapkan rumah baharu Rokhimah

Di sebalik kontroversi, Azmeer tetap siapkan rumah baharu Rokhimah

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Rumah baharu Rokhimah Ismail, 67 yang dijanjikan oleh bekas pemain Kedah, Azmeer Yusof di Lorong Ayer Putih, Jalan Pegawai, dekat sini akhirnya siap.


Azmeer menulis di Facebooknya berkata, rumah berkenaan adalah rezeki yang diberikan Allah SWT oleh kepada warga emas tersebut.

“Siapa kita untuk menidakkan rezeki dari Allah. Allah jentik hati saya untuk membina Rumah Baru kepada Makcik Rokhimah. Kita tidak tahu apakah kebaikan Makcik Rokhimah sehinggakan Allah mentakdirkan sebuah rumah baru untuk Makcik Rokhimah. 


“Beliau kaya atau sebagainya, itu antara beliau dan Allah. Tugas kita adalah memberi sebuah tempat yang baru untuk beliau lebih selesa beribadat,”katanya.


Menurutnya, dengan bantuan beberapa pihak seperti kontraktor yang mewakafkan syiling dan macam-macam lagi termasuk individu yang menaja cat menyaksikan rumah tersebut dapat disiapkan dalam tempoh dua minggu.


“Terima kasih kepada semua yang terlibat. Terima kasih kepada semua yang memberi sumbangan kepada Pusat Pengajian Azmeer Yusof. 


“Di setiap butiran pasir yang ada ke atas rumah ini, adalah duit kalian.Yakinlah kalian, pahala untuk kalian,”katanya lagi.


Bagi mereka yang mahu menyumbang boleh terus ke bank CIMB (8604202446) atas nama Pusat Pengajian Azmeer Yusof.


Sebelum ini, tular di media sosial Rokhimah terpaksa mendiami rumah pusaka yang daif dan hanya menunggu masa untuk menyembah bumi menyebabkan ramai pihak tampil membantunya.


Bagaimanapun, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) tampil menjelaskan dia adalah penerima bantuan bulanan RM200 sejak 2018 dan pernah menolak tawaran tinggal di pondok pengajian seliaan LZNK yang lengkap dengan kemudahan asas.

Hasil siasatan juga mendapati wanita itu dan keluarga mempunyai tanah sawah yang diberi sewa sebanyak RM1,700 dan dibayar secara giliran kepada enam adik-beradik lain.

Katanya, anggaran nilai hartanah didiami Rhokimah bersama enam rumah miliknya dan ahli keluarga saja sebenarnya mencecah RM1.7 juta. -KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com