Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri Tiga pati Indonesia ditahan, seludup ayam sabung dan murai batu

Tiga pati Indonesia ditahan, seludup ayam sabung dan murai batu

oleh Ammar Haziq
Zawawi (tengah) bersama hasil rampasan tersebut.

LANGKAWI, 28 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis, berjaya mengagalkan cubaan menyeludup keluar sejumlah ayam sabung dan burung Murai Batu menggunakan sebuah bot fiber, di kedudukan 2.1 batu nautika, barat laut, Pulau Anak Datai, Langkawi tengah malam, semalam.
 
Hasil maklumat risikan serta pengesanan daripada radar Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA), sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op AMAN serta Op BENTENG telah diatur gerak ke lokasi kejadian, seterusnya berjaya mengesan sebuah bot fiber berwarna hijau tanpa nombor pendaftaran sekitar jam 11.25 malam pada 26 April lalu, sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan menghala keluar dari perairan Malaysia.
 
Bot tersebut berjaya dipintas pada jam sekitar 12.30 tengah malam semalam dan pemeriksaan mendapati tiga lelaki warga Indonesia berumur lingkungan 35 hingga 42 tahun berada di atas bot bersama lebih kurang 71 ekor ayam sabung diletakkan dalam 60 kotak, tiga buah sangkar memuatkan 40 ekor burung Murai Batu, 20 tong petrol, serta 533 pokok kaktus pelbagai saiz yang dipercayai dalam perjalanan untuk diseludup ke negara jiran.
 
Kesemua suspek juga didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemeriksaan dan bot ketika ditahan.


 Hasil siasatan mendapati, bot tersebut disyaki bergerak dari Thailand menuju ke Indonesia untuk menghantar barangan seludup.
 
Modus operandi ini dilihat penyeludup rentas negara menjadikan Malaysia sebagai transit dan hab kepada pelbagai spesis haiwan serta tumbuhan untuk diseludup keluar.
 
Aktiviti penyeludupan ayam sabung dan burung Murai Batu ini dilihat mulai rancak berikutan permintaan tinggi daripada negara jiran, selain harga di pasaran Indonesia yang mahal sehingga mencecah hampir RM10 ribu (35 juta Rupiah) bagi ayam sabung.
 
Manakala burung Murai Batu (copsychus malabaricus) harganya boleh mencecah sehingga RM4 ribu (14,138,500 juta Rupiah).
 
Kemerduan suara burung Murai Batu dikatakan sukar ditandingi dan menyebabkan hidupan liar ini terus diseludup secara besar-besaran ke negara jiran berikutan permintaan tinggi dalam kalangan penggemar burung.
 
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1.02 juta merangkumi sebuah bot dengan dua enjin 200 kuasa kuda, 71 ekor ayam sabung dan 40  ekor burung Murai Batu, 20 tong petrol serta 533 anak pokok kaktus pelbagai saiz.
 
Kes akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen yang sah, Akta Binatang 1953 kerana mengimport tanpa permit dan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana memburu atau menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi.
 
Jika disabit kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1)(c) boleh didenda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan.
 
Manakala bagi kesalahan di bawah Akta Binatang 1953, Sub-seksyen 36(1) boleh didenda tidak lebih RM15 ribu. Bagi kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, Seksyen 61, pesalah boleh didenda tidak lebih RM100 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
 
Maritim Malaysia memandang serius akan kesalahan-kesalahan ini berikutan kawalan dan perlindungan terhadap mergastua serta flora dan fauna amat penting bagi kelestarian sumber alam negara. Sebarang maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah & Perlis di talian 04-9662750 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.
 
 
LAKSAMANA PERTAMA MARITIM MOHD ZAWAWI BIN ABDULLAH
PENGARAH MARITIM NEGERI KEDAH DAN PERLIS
AGENSI PENGUATKUASAAN MARITIM MALAYSIA

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com