Friday, 19, April, 2024
Utama Negeri Kedudukan UUM melonjak dalam ranking QSWUR 2022

Kedudukan UUM melonjak dalam ranking QSWUR 2022

oleh Ammar Haziq
Universiti Utara Malaysia.

Pix Ihsan UUM

Sintok: Universiti Utara Malaysia terus menunjukkan peningkatan dalam QS World University Rankings (QSWUR) 2022 apabila disenaraikan di kedudukan 511-520 berbanding tahun sebelumnya di kelompok 531-540, sekali gus menjadi satu-satunya universiti awam di Malaysia yang mencatatkan peningkatan.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pencapaian yang diperoleh ini membuktikan UUM terus konsisten mempamerkan peningkatan tahun demi tahun dengan segala usaha selama 3 tahun sejak 2019 yang telah membuahkan hasil melalui langkah-langkah yang diambil seperti meningkat kualiti kerja, agenda korporat, hubungan dengan industri, kempen penjenamaan serta memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan staf dan pelajar.

Menurutnya, peningkatan rankings ini merupakan satu pencapaian yang sangat signifikan dan bermakna bagi semua warga UUM dan negara kerana kejayaan yang dikecapi hari ini adalah hasil kerjasama dan komitmen semua orang di UUM yang mempunyai satu objektif untuk menjadi antara yang terbaik di dunia, selain gah di Asia.

Katanya, ini adalah kejayaan berganda kepada UUM bukan sahaja menunjukkan peningkatan ketara dalam QSWUR, malah UUM juga telah menunjukkan lonjakan besar dalam Times Higher Education (THE) Asia University Rankings 2021 yang diumumkan baru-baru ini.

“Kita akan memastikan dan akan terus berusaha untuk melonjakkan lagi kedudukan UUM dalam QSWUR sehingga ke tahap lebih membanggakan lagi.

“UUM akan terus menggembleng tenaga dan kepakaran untuk meningkatkan lagi kualiti kerja, agenda korporat, hubungan dengan industri, kempen penjenamaan serta memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan staf dan pelajar agar kita terus mendapat perhatian di mata dunia,” katanya.

QSWUR menguna pakai enam indikator dalam memberi penarafan kepada universiti global, iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi per akademik staf, nisbah staf akademik dengan pelajar, peratus pelajar antarabangsa dan peratus staf akademik antarabangsa.

Pada kali ini, sebanyak 1673 universiti telah melalui proses penilaian dan hanya 1300 universiti daripada 93 negara sahaja yang disenaraikan oleh QS.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com