Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri PH Kedah gesa Sidang DUN dibuka secepat mungkin

PH Kedah gesa Sidang DUN dibuka secepat mungkin

oleh Ammar Haziq

KENYATAAN MEDIA PAKATAN HARAPAN KEDAH

18 Jun 2021

Pakatan Harapan Negeri Kedah menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang telah berkenan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara baru-baru ini.

Pakatan Harapan Kedah merafak sembah di atas titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu bahawa persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu diadakan secepat mungkin serta menamatkan darurat dan menyegerakan vaksinisasi kepada rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, menyedari DUN Kedah sebagai platform dan medan terbaik untuk semua wakil rakyat kerajaan dan pembangkang berbincang, berbahas serta mengusulkan dasar-dasar negeri yang penting dan perlu disegerakan seperti pakej rangsangan ekonomi, program imunisasi dan bantuan kewangan kepada rakyat yang sedang bergelut dengan pandemik kesihatan Covid-19 dan krisis ekonomi yang teruk.

Maka Pakatan Harapan Kedah sepakat menggesa Menteri Besar Kedah memohon mengadap dan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Negeri Kedah bagi membentangkan sembah permohonan pembukaan semula persidangan DUN Kedah secepat mungkin.

Pakatan Harapan Negeri Kedah juga menggesa agar DUN Kedah dibuka semula dalam masa terdekat agar prinsip demokrasi semak dan imbang tata kelola serta perjalanan pentadbiran negeri yang telah tergendala ketika ini dapat dilakukan secara telus demi kebajikan rakyat dan negeri Kedah sewajarnya.

*Pakatan Harapan Negeri Kedah*

YB Dato’ Johari Abdul
Pengerusi KEADILAN Kedah

YB Dato’ Phahrolrazi Mohd. Zawawi
Pengerusi AMANAH Kedah

YB Tan Kok Yew
Pengerusi DAP Kedah

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com