Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri Bendera putih simbolik kejujuran kesusahan rakyat

Bendera putih simbolik kejujuran kesusahan rakyat

oleh Ammar Haziq

KENYATAAN MEDIA

BENDERA PUTIH SIMBOLIK KEJUJURAN KESUSAHAN RAKYAT

1) Merujuk kepada laporan media dan kenyataan dibuat oleh YAB Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor bertarikh 1hb Julai 2021 yang menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Kedah tidak mengiktiraf penggunaan bendera putih oleh individu di negeri Kedah sebagai tanda memerlukan bantuan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan kenyataan tersebut.

2) Kempen Bendera Putih adalah inisiatif yang digerakkan oleh rakyat Malaysia dan merupakan tanda solidariti serta keprihatinan tinggi terhadap mereka yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan pandemik Covid-19. Kempen ini juga bertujuan untuk membantu lebih ramai rakyat Malaysia yang sedang dalam kesusahan dan tertekan ketika ini. Kempen Bendera Putih merupakan misi kemanusiaan rakyat Malaysia.

3) Paling mengecewakan ialah YAB Menteri Besar Kedah menganggap penggunaan bendera putih ini merupakan salah satu propaganda politik untuk membina persepsi kerajaan gagal dalam kalangan masyarakat dan beliau menyatakan kerajaan sedang berjaya menangani pandemik Covid-19 ini dengan baik. Persoalannya, mana bukti kerajaan berjaya menangani pandemik Covid-19 ini dengan baik? Sedangkan kes semakin hari semakin meningkat. Saya ingin menegaskan bahawa gerakan ini bukan dicetuskan oleh golongan politik namun masyarakat sivil setelah melihat situasi terkini yang dialami rakyat.

4) YAB Menteri Besar Kedah menyatakan sekarang ini kita ada kemudahan aplikasi media sosial seperti Facebook dan WhatsApp serta pesanan mesej. Individu yang perlu bantuan boleh menghubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk bantuan makanan tanpa mengibar bendera putih. Saya menasihati YAB Menteri Besar Kedah agar turun ke bawah dan melihat sendiri keadaan kehidupan rakyat negeri Kedah yang susah dan tertekan. Mereka yang mengibar bendera putih ini bukan sahaja terputus bekalan makanan, malah duit untuk membeli tambah nilai
(Top Up) kredit handphone juga tiada. Janganlah kita memperbodohkan rakyat Kedah begitu sahaja. Ini belum lagi diambil kira tekanan dan cabaran ibubapa dalam mengurus pendidikan anak-anak melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Anak-anak mereka mungkin ketinggalan jauh dari sudut aspek tersebut.

5) Saya ingin mengusulkan supaya Kerajaan Negeri Kedah dapat menyalurkan bantuan khas kepada rakyat negeri Kedah yang terkesan kerana pandemik Covid-19 ini. Kurangkan karenah birokrasi kepada rakyat dalam memohon bantuan dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

6) Saya juga mencadangkan agar Kerajaan Negeri Kedah dapat menyediakan bantuan khidmat nasihat kaunseling dan sokongan emosi kepada mereka yang mengalami masalah kemurungan, tekanan dan berfikir mahu membunuh diri. Ini kerana merujuk kepada statistik, sebanyak 1,738 kes bunuh diri dicatatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2019 hingga Mei 2021 yang lalu. Saya menyeru agar kita bersama-sama bersolidariti dalam Kempen Bendera Putih bagi membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berterusan ini. Marilah kita berganding bahu membantu mereka yang terdesak dan memerlukan bantuan. Semoga kita dapat bertahan dalam menghadapi saat-saat yang amat mencabar ini.

MOHAMMED FIRDAUS JOHARI
Ketua Angkatan Muda Keadilan Kedah
Jumaat | 2 Julai 2021

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com