Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri 750 kg ketum ditinggalkan penyeludup di muara Kuala Sanglang

750 kg ketum ditinggalkan penyeludup di muara Kuala Sanglang

oleh Ammar Haziq
Hasil pemeriksaan ke atas bot telah menemukan 75 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan lebih kurang 750 kilogram dan bernilai sekitar RM 135 ribu.

KUALA KEDAH, 4 Ogos- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih kurang 750 kilogram daun ketum di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara Kuala Sanglang, Kedah pada jam 4.00 pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, pihaknya telah mengesan bot fiber tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan ditinggalkan di tepi muara.

Hasil pemeriksaan ke atas bot telah menemukan 75 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan lebih kurang 750 kilogram dan bernilai sekitar RM 135 ribu.

Daun ketum tersebut dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa daun ketum di Thailand telah mencecah lebih RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM 70 sahaja.

Semua hasil rampasan beserta bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM 198 ribu itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penyeludupan barang terlarang ini. Walaupun telah banyak rampasan dan tangkapan dilakukan sebelum ini namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan oleh para penyeludup bagi mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan yang mencecah ribuan ringgit.

Maritim Malaysia akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan di sempadan dan perairan negara dari semasa ke semasa bagi membendung aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan utara Semenanjung Malaysia.

Pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com