Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri Rampasan daun ketum terbesar, dua tan gagal diseludup

Rampasan daun ketum terbesar, dua tan gagal diseludup

oleh Ammar Haziq
Mohd Zawawi (empat kanan) melihat daun ketum yang dirampas di muara Kuala Sanglang, Jerlun pada Jumaat.

MARITIM KUALA KEDAH GAGALKAN CUBAAN SELUDUP DUA TAN DAUN KETUM

ALOR SETAR, 9 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah telah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar lebih kurang dua tan daun ketum menggunakan dua bot fiber di kedudukan 0.2 batu nautika dari muara Kuala Sanglang, Kedah pada awal pagi Jumaat yang lalu.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah berkata, ini merupakan rampasan daun ketum terbesar bagi Maritim Malaysia dan rampasan kedua melibatkan ketum bulan ini bagi Zon Maritim Kuala Kedah.

Kejayaan serbuan ini adalah hasil maklumat risikan dan intipan berterusan mengenai aktiviti penyeludupan daun ketum yang dilihat semakin aktif di perairan Kuala Kedah, di mana pada 4 Ogos lepas sejumlah 750 kilogram ketum telah dirampas.

Berikutan maklumat risikan dan intipan, dua bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi dan telah mengesan dua bot fiber tanpa nombor pendaftaran bergerak dalam keadaan gelap dan mencurigakan, menghala keluar dari Kuala Sanglang sekitar jam 1.50 pagi, Jumaat lalu.

Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong kedua-dua bot fiber tersebut bertindak menukar haluan serta memecut laju ke arah berbeza menuju ke daratan dengan meninggalkan bot dan melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran.

Pemeriksaan ke atas kedua-dua bot berkenaan mendapati terdapat 190 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan anggaran berat lebih kurang dua tan dianggarkan bernilai RM 360 ribu.

Kesemua daun ketum terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut dan mungkin dilakukan oleh sindiket yang sama.

Harga pasaran semasa daun ketum di Thailand mencecah sehingga RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM70 sahaja.

Aktiviti penyeludupan semakin rancak melalui jalan laut berikutan penutupan pintu sempadan negara serta harga pasaran yang tinggi di Thailand.

Harga pasaran yang tinggi di negara jiran juga dilihat menjadi faktor pendorong kepada aktiviti jenayah ini, terutamanya ‘transporter’ yang dianggarkan dibayar sekitar RM350 hingga RM800 bagi setiap hantaran berdasarkan berat timbangan.

Semua hasil rampasan beserta bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM 390 ribu itu, dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut. Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penyeludupan barang terlarang ini. Walaupun telah banyak rampasan dan tangkapan dilakukan sebelum ini namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan oleh para penyeludup bagi mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan yang mencecah ribuan ringgit.

Pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com