Saturday, 20, April, 2024
Utama Negeri Pindahan wang MBI RM13 juta : Mukhriz gesa MB Kedah buat laporan pada pihak berkuasa

Pindahan wang MBI RM13 juta : Mukhriz gesa MB Kedah buat laporan pada pihak berkuasa

oleh Ammar Haziq

KENYATAAN MEDIA

1. Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md. Nor harus segera membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan pemindahan wang berjumlah RM13 juta milik Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) jika dirasakan wujud unsur salah guna kuasa.

2. Bagaimanapun, kenyataan beliau pada sidang media secara maya yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook Unit Penerangan Kedah Darul Aman (UPDA) pada 21hb September 2021 dan 22hb September 2021 didapati tidak konsisten, malah bercanggah antara satu dengan yang lain. Pada 21hb September 2021 beliau menyebut wang itu dipindah ke Kanada tetapi menafikan pula perkara itu dalam sidang media pada 22hb September 2021. Kesilapan atau salah kata begini bukanlah suatu yang asing bagi Menteri Besar Kedah itu.

3. Sebagai sebuah entiti yang ditubuhkan untuk membawa pelaburan dan keuntungan kepada negeri Kedah, tentu akan wujud aliran keluar masuk dana dari MBI. Sebarang keputusan oleh MBI sudah semestinya mengambilkira kepentingan terbaik rakyat negeri Kedah untuk jangka masa panjang. Pada keseluruhannya, pelaburan-pelaburan MBI disasarkan untuk industri berkualiti tinggi, berdaya maju dan berpotensi besar untuk mencatat keuntungan.

4. Berdasarkan dokumen-dokumen yang telah ‘ditayangkan! oleh Menteri Besar Kedah sewaktu sidang media secara maya dan telah disiarkan secara langsung melalui laman Facebook UPDA pada 23hb September 2021, yang mana sepatutnya diserahkan terlebih dahulu kepada pihak berkuasa bagi tujuan siasatan, ia dipercayai berkaitan pelaburan oleh MBI dalam sebuah syarikat bio-teknologi yang ketika itu terlibat dalam kajian dan pembangunan rawatan kanser. Syarikat ini berdaya maju dan ekuitinya pula dimiliki oleh rakyat Malaysia, agensi pelaburan sektor teknologi tinggi Kerajaan Persekutuan, selain turut menarik perhatian pelabur-pelabur dari luar negara.

5. Saya sama sekali tidak memperoleh sebarang keuntungan peribadi dari apa sahaja keputusan MBI. Saya sentiasa bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan. Saya sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku mahupun salah guna kuasa, jikalaupun ia wujud. Saya amat yakin tiada unsur-unsur tersebut dalam urusniaga MBI ketika saya berjawatan Menteri Besar Kedah.

6. Saya juga yakin bahawa kenyataan yang dibuat oleh Sanusi itu adalah bertujuan untuk mencemar nama baik dan imej saya tanpa membuat tuduhan khusus yang boleh mengundang tindakan saman.

7. Saya tekankan di sini bahawa sebarang kenyataan daripada Menteri Besar Kedah bukanlah bersifat pendapat atau pandangan peribadi. Sebaliknya, Menteri Besar Kedah harus lebih bijak dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dengan usul periksa terlebih dahulu kerana kenyataan beliau membawa imej pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah dalam apa jua hal dan keadaan.

8. Pihak saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil langkah sewajarnya jika beliau berterusan membuat onar dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Dato’ Seri Utama Hj. Mukhriz Tun Mahathir

Ahli Dewan Undangan Negeri Jitra

Hari Selasa, 28 September 2021

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com