Thursday, 28, March, 2024
Utama Nasional Pusat MyFutureJobs dibuka di Kedah

Pusat MyFutureJobs dibuka di Kedah

oleh Ammar Haziq
Majlis pelancaran Pusat Satelit MyFututeJobs ini telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Bin Md Nor. Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah PERKESO Negeri Kedah, En Mohd Asri Bin Mohd Rasid.

PEDU, KEDAH – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini terus merealisasikan komitmennya untuk memperluaskan perkhidmatan pekerjaan di seluruh negara dengan membuka satu lagi Pusat Satelit MyFutureJobs di negeri Kedah.

PERKESO telah bekerjasama dengan Pusat Khidmat Wakil Rakyat, DUN Pedu untuk membantu lebih ramai golongan pencari kerja di Kedah mendapat akses perkhidmatan pekerjaan dengan lebih mudah melalui Pusat Satelit MYFutureJobs yang dibuka ini.

Penubuhan Pusat Satelit MyFutureJobs ini bermatlamat membuka ruang kepada rakyat yang tinggal di kawasan luar bandar terutamanya  untuk memohon peluang pekerjaan yang ditawarkan melalui MYFutureJobs.

Selain daripada itu, pusat satelit ini juga berfungsi sebagai pusat sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan pekerjaan seperti bengkel resume, kaunseling kerjaya dan aktiviti kebolehpekerjaan pasaran buruh tempatan.

Orang ramai khususnya golongan pencari kerja boleh memanfaatkan kemudahan yang disediakan bagi mencari dan memohon peluang pekerjaan yang diiklankan dari seluruh negara menerusi portal pekerjaan negara MYFutureJobs. 

Majlis pelancaran Pusat Satelit MyFututeJobs ini telah disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Kedah, YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Bin Md Nor. Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah PERKESO Negeri Kedah, En Mohd Asri Bin Mohd Rasid.

Portal MYFuturejobs adalah Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara yang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Manusia menerusi PERKESO, bagi memastikan perkhidmatan pekerjaan yang komprehensif dan efisien di negara ini.

Sehingga kini, PERKESO telah bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membuka sebanyak 43 Pusat Satelit MyFutureJobs di seluruh Malaysia, yang mana tujuh daripadanya terletak di negeri Kedah, bagi membantu pencari kerja di kawasan luar bandar untuk mendapat peluang yang sama.

Menerusi portal MyfutureJobs ini, terdapat 442,863 kekosongan jawatan yang masih aktif didaftarkan di seluruh Malaysia dan 14,331 daripada kekosongan jawatan tersebut adalah di negeri Kedah. Menerusi platform ini juga, seramai 324,982 orang telah berjaya kembali bekerja yang mana seramai 12,648 daripadanya adalah rakyat negeri Kedah.

Selain daripada itu, PERKESO juga telah memulakan siri Karnival Kerjayanya untuk tahun 2022 ini pada 19 Februari yang lalu melalui Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Kuala Lumpur.

Sebanyak 12,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 50 majikan dari pelbagai industri. Karnival kerjaya dan aktiviti temu duga dengan majikan seumpama ini akan diteruskan oleh PERKESO dengan kerjasama MYFutureJobs menerusi siri-siri akan datang, yang akan dilaksanakan di seluruh negara.

Dikeluarkan oleh:

Bahagian Komunikasi Strategik

3 Mac 2022

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com