Friday, 29, March, 2024
Utama Nasional 100 sukarelawan ICT Malaysia dari UUM tingkat literasi digital komuniti

100 sukarelawan ICT Malaysia dari UUM tingkat literasi digital komuniti

oleh Ammar Haziq
Majlis Perasmian Program Libatsama Komuniti IMBRe UUM Sukarelawan ICT Malaysia / IMBRe UUM Community Engagement-Malaysia ICT Volunteer (ICE-MIV) ini dirasmikan EXCO Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Dr. Ku Rahman Ku Ismail di EDC-UUM.

Sintok – Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi universiti awam pertama yang mengelolakan 100 sukarelawan bagi program IMBRe Community Engagement (ICE) – Malaysia ICT Volunteer (MIV) atau ICE-MIV dalam usaha untuk meningkatkan kadar literasi ICT dalam kalangan komuniti dan juga membantu komuniti meningkatkan penggunaan teknologi ICT selari dengan era ekonomi digital.

Program anjuran Institut Penyelidikan Pengurusan Dan Perniagaan (IMBRe), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kelab Patriot Chapter Kedah UUM itu bertujuan merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat setempat.

100 Sukarelawan ICT terdiri daripada pelajar UUM itu akan memainkan peranan sebagai ‘Sukarelawan ICT Malaysia’ bagi membantu pelbagai komuniti di 77 Pusat Ekonomi Digital (PeDI) di seluruh Negeri Kedah yang telah dikenal pasti di dalam penggunaan dan pembangunan ICT.

Program ICE-MIV ini juga secara tidak langsung akan membantu sukarelawan terlibat untuk meningkatkan komunikasi dua hala dengan pelbagai pihak apabila program ini sedang berjalan. Ia selaras dengan inisiatif Malaysia Digital di mana akan menjadi isyarat kepada dunia bahawa Malaysia bersiap siaga untuk meletakkan negara di saf hadapan dalam sektor ekonomi digital.

Di samping itu, program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar UUM tentang kepentingan menjadi sukarelawan, membantu meningkatkan tahap literasi digital dalam kalangan masyarakat setempat agar ICT dapat dimanfaatkan pada tahap optimum dan menjadi platform sukarelawan berkongsi pengetahuan dan menggalakkan penggunaan ICT yang positif. Pada masa sama, pelajar akan mengaplikasikan teknik ‘belajar dengan melakukan’.

Majlis Perasmian Program Libatsama Komuniti IMBRe UUM Sukarelawan ICT Malaysia / IMBRe UUM Community Engagement-Malaysia ICT Volunteer (ICE-MIV) ini dirasmikan EXCO Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Dr. Ku Rahman Ku Ismail di EDC-UUM.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com