Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri Maritim rampas 65 set bubu naga di Yan, Kuala Kedah

Maritim rampas 65 set bubu naga di Yan, Kuala Kedah

oleh Ammar Haziq
Antara set bubu naga yang dirampas oleh Maritim Malaysia.

KUALA KEDAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah merampas 65 set bubu kambang atau bubu naga (China prawn net trap) dalam dua siri pemantauan Op Aman sekitar perairan Yan dan Kuala Kedah.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, rampasan pertama berjumlah 37 unit bubu naga dilakukan pada 16 ogos lepas di kedudukan 4.4 batu nautika barat muara Kuala Kedah.

Rampasan kedua telah dilakukan semalam dengan merampas 28 unit bubu naga di dua lokasi berbeza sekitar perairan Singkir Laut dan Pulau Bunting, Yan yang juga antara lokasi hotspot aduan setakat ini.

Operasi pemantauan diadakan secara berkala ini berikutan aduan awam yang diterima oleh pihak Maritim Malaysia memandangkan penggunaan bubu naga masih menjadi pilihan segelintir komuniti nelayan di lokasi terbabit.

Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai RM 7,800 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Zon Maritim Kuala Kedah juga mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com