Wednesday, 24, April, 2024
Utama Negeri Maritim Kedah dan Perlis rampas 29 bubu naga di perairan Langkawi

Maritim Kedah dan Perlis rampas 29 bubu naga di perairan Langkawi

oleh Ammar Haziq
Anggota Maritim menarik keluar bubu naga dari perairan Langkawi.

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis merampas 29 set bubu kambang atau bubu naga (China prawn net trap) dalam pemantauan Op Aman sekitar perairan Langkawi, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, rampasan 29 unit bubu naga tersebut dilakukan pada lebih kurang jam 4 petang di kedudukan 0.4 batu nautika tenggara Teluk Apau.

Operasi pemantauan dilakukan secara berkala ini berikutan aduan awam yang diterima pihak Maritim Malaysia, memandangkan penggunaan bubu naga masih menjadi pilihan segelintir komuniti nelayan di lokasi terbabit.

Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai RM 2500 dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Penggunaan bubu naga ini juga boleh mengancam dan boleh merosakkan ekosistem marin serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan tradisional atau pesisir pantai.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara.

Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis juga mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com