Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri Langar syarat sah lesen nelayan, bawa 10 pemancing

Langar syarat sah lesen nelayan, bawa 10 pemancing

oleh Ammar Haziq
Bot yang ditahan oleh Maritim kerana langgar syarat sah lesen di Pulau Jong, Langkawi.

LANGKAWI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C disyaki melanggar syarat sah lesen dengan membawa 10 pemancing di kedudukan 0.25 batu nautika timur Pulau Jong, tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, Kapal Maritim (KM) Tenggol yang sedang melakukan rondaan rutin Op Aman di sekitar perairan Langkawi melakukan pemeriksaan ke atas bot nelayan tempatan yang mencurigakan itu berikutan muatan mereka didapati melebihi kapasiti.

Melalui pemeriksaan yang dilakukan, bot nelayan tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama empat kru kesemuanya warga tempatan.

Bot nelayan tersebut turut membawa sembilan pemancing warga tempatan dan pemancing warga Bangladesh. Kesemua mereka berumur berumur dalam lingkungan 25 hingga 50 tahun. Bot dan kesemua mereka telah ditahan dan dibawa masuk ke jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Kes akan disiasat dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana surat kebenaran membawa penumpang telah tamat tempoh dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dengan membawa penumpang menggunakan bot nelayan.

Maritim Malaysia tidak menyekat mana-mana aktiviti yang membabitkan perikanan atau sukan memancing namun pihak kami ingin menegaskan agar mereka perlu patuh pada paraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan. Kebelakangan ini, banyak kes kecelakaan di laut berlaku di seluruh negara membabitkan kumpulan pemancing.

Rata-rata kes yang berlaku berpunca daripada sikap tidak peka dan cuai ketika berada di laut. Pemancing juga dinasihatkan agar tidak menggunakan perkhidmatan bot penumpang yang tidak sah kerana setiap pengangkutan di air mempunyai syarat-syarat yang berbeza. Pemilik bot nelayan juga perlu memantau aktiviti bot mereka yang dikendalikan tekong kerana ada antara tekong yang digajikan mengguna bot nelayan dengan tujuan yang menyalahi undang-undang.

Komuniti maritim setempat juga perlu bekerjasama memantau perkara ini dan melaporkan kepada Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau MERS 999. Kerjasama antara Maritim Malaysia dan komuniti perlu dieratkan demi memastikan perairan Negeri Kedah dan Perlis sentiasa aman dan selamat.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com